Khamis, 1 Disember 2016

Kelemahan Bujang Senang terus berjangkit

ARKIB : 19/04/1999
BEKAS juara liga, Sarawak sekali lagi berdepan dengan beberapa kelemahan sehingga menggagalkan hasrat pasukan itu untuk memungut tiga mata penuh pada perlawanan menentang Negeri Sembilan di Stadium Sarawak, Petra Jaya, kelmarin, lapor ANUAR ARIFFIN.

Jika sebelum ini ketumpulan di barisan depan menjadi sasaran, tetapi kini ia kelihatan menjangkiti pula di posisi tengah dan pertahanan.

Jurulatih Bujang Senang, Abdul Jalil Rambli berkata, kegagalan kedua-dua bahagian itu berfungsi dengan berkesan dikenal pasti antara faktor yang mendorong kepada kehampaan Sarawak untuk memenangi perlawanan kelmarin.

Katanya, walaupun barisan depan yang dikemudi oleh Bobby Pian, Ramos Sari dan Safri Amit sudah banyak berubah dan mempamerkan persembahan membanggakan ,tetapi tidak di bahagian tengah dan benteng skuad Bumi Kenyalang.

''Serba-serbinya tidak menjadi. Saya berharap dapat memperbaiki segera kelemahan tersebut sebelum berdepan Perak pada cabaran Piala FA, Selasa ini,'' ujarnya di Kuching, semalam.

Jalil berkata, Sarawak mampu memenangi perlawanan kelmarin sekiranya pemain dapat memanfaatkan banyak peluang keemasan yang diperoleh.

Antara peluang terbaik ialah ketika Roslan Ismail melakukan hantaran lintang selepas membuat larian solo pada separuh masa kedua, ujarnya.

Beliau juga memuji pasukan pelawat yang menunjukkan permainan yang bersemangat dan tidak kenal putus asa walaupun pada satu ketika sedang ketinggalan 0-1.

Sarawak kalah 4-5 kepada Si Rusa melalui sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan masa sebenar.

Ini merupakan kekalahan kedua Bujang Senang selepas tewas 0-4 kepada Kedah minggu lalu dan kekecewaan sulung melalui sepakan penalti.

Sebelum ini Sarawak menang melalui sepakan penalti ke atas Pahang (4-3), Kuala Lumpur (5-4), Pulau Pinang (5-3) dan Terengganu (5-4).

Kekalahan tersebut kini menempatkan Sarawak di tangga keenam dengan mengutip 12 mata.

Bujang Senang akan berhadapan skuad 'Seladang' pada pusingan kedua Piala FA di gelanggang sendiri pada 20 April ini sebelum menghadapi jiran tetangga, Sabah di Kota Kinabalu pada Liga Perdana Satu empat hari kemudian.

SUMBER-ARKIB UM: 19/04/1999

Tiada ulasan:

Catat Ulasan