Selasa, 26 Julai 2016

Sarawak lepaskan pemergian Affendi

 ARKIB : 12/02/1998
PENYERANG lincah Sarawak, Affendi Julaihi mengotakan hasrat dengan meninggalkan Bumi Kenyalang, semalam, untuk mencuba nasib dengan Negeri Sembilan dalam kancah persaingan Liga Malaysia musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Ketika yang sama juga, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengikat dua bekas pemain Sabah, Boby Chua dan Jelius Ating untuk memantapan cabaran pasukan Kenyalang bagi mengharungi gelombang liga yang dijadual bermula April ini.

Majlis menandatangani kontrak kedua-dua bekas pemain Saga Boys itu diadakan di Kuching.

Biarpun begitu, penghijrahan Affendi, 28, tetap menjadi bualan hangat di kalangan para peminat bola sepak negeri ini biarpun pada hakikatnya Sarawak sudah 'kehilangan' pemain 'lipas kudung' itu.

Sebagai pemain profesional, Affendi berhak menentukan masa depannya dan setiap pihak harus merestui langkah yang diambil oleh pemain tersebut.

Pun begitu, pemergian bekas pemain kebangsaan itu ke Semenanjung bukan dibuat secara melulu tetapi dibuat secara tertib dengan menemui dan berbincang dengan pengurus dan jurulatih Sarawak, Alan Vest dan pucuk pimpinan FAS terlebih dahulu.

Menurut Affendi, dia telah menemui Vest beberapa hari lalu untuk berbincang mengenai pelawaan Negeri Sembilan itu.

''Mereka setuju melepaskan saya bermain dengan skuad Hoben Jang Hoben,'' katanya di Kuching, semalam.

Affendi menambah, dia begitu berasa lega dengan pelepasan yang diberikan selepas beberapa ketika berkecamuk memikirkan soal penyertaan dalam skuad Negeri Sembilan.

Namun begitu, katanya, dia menyangkal dakwaan menyatakan tindakannya menyarung jersi 'Si Rusa' dibuat secara tidak profesional.

Tegas Affendi, dia mengambil sikap profesional dengan menunggu Vest dan Presiden FAS, Datu Taha Ariffin kembali dari Australia untuk menyatakan hasratnya untuk beraksi dengan pasukan lain musim ini.

''Kalau saya dah buat cara begini, takkan saya dicap sebagai tidak profesional,'' ujarnya.

Katanya lagi, soal Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) tidak menghubungi FAS dalam perkara ini bukan menjadi tanggunggannya.

''Saya telah berjumpa Vest. Mereka telah melepaskan saya untuk berhijrah,'' ujar Affendi.

Menurutnya lagi, penghijrahan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mempertingkatkan mutu permainannya dalam bola sepak.

''Saya berharap penyertaan saya dalam skuad Negeri Sembilan akan membawa keceriaan dan memberi sumbangan yang sangat bermakna kepada negeri itu,'' ujarnya yang telah mewakili negeri kelahirannya sejak lapan tahun berturut-turut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0212&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4FVONe3kH © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan