Jumaat, 31 Mac 2017

Jalil yakin Sarawak `boleh'



ARKIB : 03/06/2003

SARAWAK yakin dapat mengutip mata penuh dalam perlawanan liga bola sepak Perdana Satu menentang pendahulu liga, Perak malam ini meskipun kehilangan dua pemain utama kerana kad kuning.

Jurulatih Sarawak, Abdul Jalil Rambli berkata, untuk perlawanan ini Sarawak tidak dapat menurunkan dua pemain pertahanan, Irwandy Jempaka dan ketua pasukan Bobby Chua kerana mereka digantung satu perlawanan selepas menerima kad kuning ketiga dalam perlawanan menentang Sabah, 24 Mei lalu.

``Ini perlawanan penting dan kita yakin tidak mustahil untuk menewaskan Perak berdasarkan prestasi sekarang,'' katanya kepada di Kuching semalam.

Abdul Jalil berkata, Sarawak menganggap perlawanan dengan Perak itu penting memandangkan ia akan memberi semangat kepada pemain bagi perlawanan seterusnya jika berjaya mengalahkan juara bertahan liga Perdana Satu itu.

``Kita juga mahu merapatkan jurang perbezaan mata antara Perak yang kini berbeza lima mata saja,'' katanya.

Beliau berkata, keyakinan tinggi itu berdasarkan rekod tanpa kalah di gelanggang sendiri di dalam pertandingan liga Perdana Satu musim ini dan Piala FA.

Gandingan berbisa penyerang import Robert Eshun dan Sapian Wahed yang kini masing-masing menjaringkan 10 gol, antara penjaring gol terbanyak dalam liga Perdana Satu, juga diyakini mampu membantu Sarawak mencapai mata penuh.

Perak kini memiliki 29 mata selepas menang lapan, lima seri dan hanya sekali tewas manakala Sarawak menduduki tempat ketiga dengan 24 mata apabila menang tujuh, seri tiga dan empat tewas.

Pada perlawanan pusingan pertama pada 22 Feb lalu di Stadium Perak di Ipoh, Perak menewaskan Sarawak 4-2. - Bernama

SUMBERArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0603&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz4cxtLmqr2
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sarawak bangkit tebus kecewa



ARKIB : 21/05/2003
SARAWAK menebus kecewa gagal ke perlawanan akhir bola sepak Piala FA minggu lalu apabila membelasah Pahang 5-1 dalam aksi Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, semalam.

Kemenangan itu turut memperbaiki kedudukan Bujang Senang dalam liga, berkongsi 24 mata dengan Kedah dan Perlis tetapi Kedah di tempat kedua atas perbezaan jaringan.

Perlis yang mengecewakan Sarawak dalam Piala FA, di tangga keempat tetapi Singa Utara tidak bermain semalam.

Dalam aksi di Kuching, penyerang tuan rumah, Sapian Wahid dan pemain import, Robert Eshun masing-masing menjaringkan dua gol dan satu lagi gol disumbangkan oleh Bobby Pian.

Sarawak mendahului 3-0 pada babak pertama dengan Sapian membuka jaringan pada minit ke-10 sebelum Bobby menggandakan jaringan enam minit kemudian.

Eshun meletakkan Sarawak lebih selesa sebelum waktu rehat dengan gol ketiga minit ke-22.

Sapian sekali lagi menemui sentuhan jaringan pada minit ke-58 untuk gol keempat Sarawak dan Eshun tambah menceriakan barisan Ramli Jalil dengan gol kelima minit ke-60.

Pahang mendapat gol saguhati pada minit terakhir perlawanan menerusi Hairuddin Omar.

Pendahulu liga, Perak gagal melebarkan penguasaan apabila sekadar mengutip satu mata selepas perlawanan dengan Kedah di Stadium Darulaman, Alor Star berkesudahan seri tanpa jaringan.

Perak masih di tangga teratas dengan 28 mata selepas 13 perlawanan, empat mata di depan Kedah.

Selangor tewas buat kali keenam dalam liga, kali ini tunduk kepada Pulau Pinang 2-1 di Stadium Shah Alam.

Pasukan pelawat mendahului 2-0 hasil jaringan Wan Rohaimi Ismail pada minit ke-42 dan Gustavo Romero (69). Mass Sarr Jr. menjaringkan gol tunggal Selangor minit ke-79.

Pulau Pinang melonjak ke tangga kelima dengan 20 mata tetapi Selangor tergelincir satu tangga di bawah di tempat ke-10.

Johor FC memenangi pertarungan antara dua pasukan terbawah liga apabila mengatasi Melaka 4-1 di Stadium Hang Tuah.

Jonathan Ben Angelucci menjaringkan dua gol untuk Johor FC pada minit ketiga dan 90 manakala dua gol lagi disumbangkan oleh Azmi Mohamed (10) dan Hairy Azly Mohamad (27).

Halim Jantan menjaringkan gol tunggal Melaka pada minit ke-25.

Begitupun, Johor FC kekal di tangga ke-11 liga dengan 13 mata manakala Melaka di tangga kedua terbawah dengan lapan mata.

Terengganu terus menghuni tangga terbawah biarpun seri 2-2 dengan Kelantan di Stadium Sultan Mohamed IV, Kota Bharu.

Gol-gol Kelantan dijaringkan oleh Badrul Afzan Razali mint ke-37 (penalti) dan Adamec Martin (90) manakala dua gol Terengganu dihasilkan oleh Ahmad Tahrin Yusuf (28 dan 38).

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0521&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz4cvAeSYmd
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sarawak ke separuh akhir Piala FA



ARKIB : 21/04/2003

SARAWAK menepati ramalan apabila layak ke separuh akhir bola sepak Piala FA 2003 selepas mengalahkan Johor 1-0 dalam suku akhir kedua di Stadium Larkin, semalam.

Pemain import, Robert Eshun menghasilkan gol minit ke-88 untuk mengesahkan kemenangan Sarawak menerusi agregat 6-2.

Sebelum itu, dalam perlawanan suku akhir pertama, skuad Bujang Senang menang 5-2 di gelanggang sendiri, Stadium Sarawak.

Turut mengiringi Sarawak ke separuh akhir ialah Perlis, Negeri Sembilan dan Sabah yang beraksi dalam suku akhir kedua kelmarin.

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0421&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_04.htm#ixzz4ctoGpFCG
© Utusan Melayu (M) Bhd