Sabtu, 11 Mac 2017

Sarawak masih berpeluang ke akhir - Jalil

RKIB : 05/10/2000
SARAWAK masih berkeyakinan tinggi untuk melangkah ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia meskipun ketinggalan satu gol selepas kalah 2-1 kepada Negeri Sembilan, kelmarin.

Jurulatih Abd Jalil Ramli berkata, dalam perlawanan bola sepak apa-apa pun boleh terjadi memandangkan permainan ini memerlukan ketahanan mental tinggi serta strategi betul apabila memasuki peringkat genting seperti separuh akhir.

''Kita ketinggalan hanya satu gol sahaja dan ia tidak membimbangkan,'' katanya kepada pemberita selepas perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Sarawak, kelmarin.

Jalil berkata, ketiadaan penyerang, Ramles Sari kerana menerima kad merah pada perlawanan suku akhir antara Sarawak dan Melaka sedikit sebanyak menjejaskan rentak permainan Sarawak selain daripada hilang tumpuan menyebabkan pasukan Bujang Senang tewas kelmarin.

''Kita tidak akan membuat rombakan pada perlawanan akan datang, namun perjuangan belum berakhir kerana masih ada 90 minit lagi di Stadium Paroi,'' katanya.

Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Zaki Ahmad turut menyuarakan perasaan yang sama walaupun pasukan Rusa berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah dalam pertandingan Piala Malaysia setakat ini.

''Kita tidak boleh terlalu yakin kerana masih ada 90 minit lagi selepas ini dan ini separuh akhir tidak semua pasukan akan menggunakan strategi sama,'' katanya.

Zaki berkata, kecuali Wong Sai Kong, kesemua pemain Negeri Sembilan bebas dari sebarang kecederaan.

Mengenai perlawanan malam tadi, Zaki berkata, kedua-dua pasukan bermain dalam keadaan tertekan terutama pasukan Negeri Sembilan yang dibarisi pemain-pemain muda.

Separuh akhir tahun ini adalah percubaan ketiga Negeri Sembilan melayakkan diri ke pertandingan akhir setelah dikecewakan oleh Perak pada tahun 1998 dan Brunei, tahun lepas.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=1005&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4b3xRA4Ci

© Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan