ARKIB : 14/01/2003
SARAWAK berazam untuk bangkit dan
kembali menjadi pasukan digeruni dalam Liga Perdana Satu selepas persembahan
agak mengecewakan dalam saingan tahun lalu.
Biarpun dibarisi oleh
pemain-pemain berpengalaman dan sudah kerap beraksi bersama, pasukan Bumi
Kenyalang itu sekadar menduduki tangga kelapan liga dan tersekat di peringkat
kumpulan Piala Malaysia.
Manakala dalam saingan Piala FA,
mereka hanya mara hingga ke pusingan kedua.
Jurulatihnya, Jalil Ramli
berkata, pemain-pemain sudah melupakan persembahan musim lalu dan ingin membuka
lembaran baru dengan langkah lebih meyakinkan.
Malah, dia terus meletak
kepercayaan terhadap barisan pemain musim lepas dan hanya melakukan beberapa
perubahan kecil bagi memantapkan lagi pasukan itu.
``Kita mengekalkan pemain-pemain
sedia ada dan hanya menambah seorang pemain iaitu Sapian Wahid dari
Terengganu,'' katanya.
Kehadiran Sapian umpama sirih
pulang ke gagang kerana anak kelahiran Melaka itu bukanlah asing bagi pemain
serta peminat bola sepak Sarawak dan pernah mencurah bakti di negeri tersebut
sebelum ini.
Menurut Jalil lagi, pasukan itu
akan terus menggunakan khidmat pemain import dari Liberia, Romeo Kambou yang
menunjukkan aksi memberangsangkan musim lalu.
Pemain itu yang dipikat di
pertengahan musim 2002 adalah bekas pemain kelab tentera di Emiriyah Arab
Bersatu (UAE).
Selain itu, Jalil tidak mahu
terlalu membebankan pemain-pemain dengan meletakkan sasaran piala tertentu yang
perlu dimenangi musim ini.
``Saya tak mahu pemain terlalu
tertekan dan berharap mereka menghadapi perlawanan satu persatu. Itu lebih baik
dan menjadikan mereka lebih fokus terhadap sesuatu perlawanan,'' ujarnya.
Sarawak akan memulakan aksi sulung
dalam Perdana Satu pada 11 Februari depan menentang Pahang di tempat lawan.
Sementara itu, dalam saingan
Piala FA, mereka dijangka tidak menghadapi masalah melepasi pusingan pertama
apabila diundi bertemu pasukan kelab, Perak TKN.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2003&dt=0114&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=su_06.htm#ixzz4cVaZ0dxz©
Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan