ARKIB : 14/02/1998
JURULATIH Sabah, Ken Shellito
menerangkan sesuatu kepada pemainnya semasa sessi latihan di padang Universiti
Malaysia Sabah (UMS) di Jalan Tuaran, Kota Kinabalu semalam. - Gambar GHAZALI
BASRI.
SARAWAK menyerahkan
kebijaksanaan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk menyelesaikan masalah
pengambilan pemain pertahanan tengah Sabah, Jelius Ating.
Setiausaha Agung Persatuan Bola
Sepak Sarawak (FAS), Abang Zainuddin Abang Abdul Rahman berkata, pihaknya telah
menghantar faks mengenai pemeteraian kontrak antara Jelius dan seorang lagi
pemain Sabah, Bobby Chua dengan persatuan itu semalam.
Bagaimanapun, beliau
memberitahu, setakat ini Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) masih belum
menghubungi FAS mengenai perkara tersebut.
Menurutnya, sebelum
menandatangani kontrak, pemain tersebut memaklumkan kepada FAS bahawa beliau
tidak terikat dengan mana-mana pihak.
''Kita percaya dengan Jelius
dan kita tidak mahu menimbulkan sebarang masalah.
''Apa yang kita sedia maklum
kini dia (Jelius) telah menandatangani kontrak dengan kita,'' katanya di
Kuching, semalam.
Pada Rabu lalu, Jelius dan
Bobby menandatangani kontrak dengan masing-masing bersetuju untuk menyarung
jersi skuad Bujang Senang selama setahun.
Bagaimanapun, keputusan Bobby
untuk beraksi di Bumi Kenyalang tidak menimbulkan sebarang masalah kerana
kontrak pemain itu dengan Safa tamat akhir tahun lalu.
Kontroversi timbul semalam
apabila Presiden Safa, Anifah Aman menyatakan bahawa pemain itu masih mempunyai
kontrak dengan persatuan tersebut.
Menurut Anifah, tindakan Jelius
menyertai pasukan lain disebabkan pemain tersebut keliru dengan situasi yang
kini melanda pasukan Sabah berikutan pelbagai masalah yang timbul.
Abang Zainuddin berkata, FAS
juga masih belum menerima sebarang berita daripada Jelius sekembalinya beliau
ke Kota Kinabalu.
Sementara itu, pemain lincah
Sarawak, Affendi Julaihi tidak boleh menandatangani sebarang perjanjian dengan
Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) sehingga yuran perpindahan
dipersetujui.
Abang Zainuddin berkata, yuran
perpindahan itu dijangka dapat dipersetujui oleh kedua-dua persatuan pada
pertengahan minggu depan.
Menurutnya, semua perundingan
rasmi dengan PBNS dianggap selesai kecuali perkara yang melibatkan yuran
perpindahan.
''Cadangan ini (yuran
perpindahan) masih lagi dikaji oleh ahli exco FAS dan dijangka akan
mengemukakan nilai yuran yang baru pada pertengahan minggu depan.
''Sebenarnya kita telah
menetapkan bayaran itu tetapi mereka hendak berunding lagi dan sudah menjadi
lumrah terdapat tawar menawar,'' katanya kepada pemberita di Kuching, semalam.
Affendi yang berhasrat
berhijrah ke Negeri Sembilan sebelum ini memberitahu ia adalah semata-mata
untuk menimba pengalaman dan tiada sebarang krisis tercetus antaranya dengan
persatuan bola sepak itu.
Menurut Abang Zainuddin,
Affendi bersetuju beraksi dengan Sarawak setahun lagi setelah menandatangi
kontrak pada 3 Disember tahun lalu.
Sehubungan itu, tambah beliau
FAS berhak untuk menentukan bayaran perpindahan pemain itu.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=0214&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4FVRb1hpW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan