Selasa, 6 Disember 2016

Bujang Senang berminat ambil dua pemain Olimpik 2000

ARKIB : 13/07/1999
SARAWAK bercadang mendapatkan khidmat dua pemain muda Gilbert Cassidy Gawing dan Johnny Joseph untuk mengharungi kancah Piala Malaysia musim ini.

Bagaimanapun, jurulatih Jalil Rambli memberitahu, hasrat itu hanya dapat dilakukan sekiranya Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) membubarkan skuad Olimpik 2000 yang baru saja menamatkan misi mereka di Jepun, baru-baru ini

''Sekiranya mereka bubarkan pasukan Olimpik 2000 saya bercadang untuk membawa mereka pulang,'' katanya di Kuching, semalam

Menurut Jalil, Gilbert mempunyai kontrak dengan Sarawak selama setahun lagi.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kontrak Johnny dengan pasukan tersebut tamat pada tahun lalu.

Walaupun Gilbert menyerlah dalam pasukan Olimpik 2000 namun pemain itu hanya berkesempatan menyarung jersi pasukan Piala Presiden Sarawak sebanyak dua kali sebelum mengalami kecederaan.

Sementara itu, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengambil langkah drastik apabila mengambil keputusan untuk menggabungkan pemain senior dan bawah 21 tahun dalam Liga Sarawak (Liga S) menerusi format barunya pada tahun ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan FAS, Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, gabungan pemain itu dijangka menjadi teras mencungkil bakat baru untuk menyarung jersi skuad Bujang Senang pada masa depan.

''Daripada rekod FAS, tiga pemain bawah 21 tahun iaitu Ramos Sari, Ramles Sari dan Affendi Julaihi telah berjaya mencipta nama dalam arena bola sepak tempatan,'' katanya di Kuching semalam.

Menurutnya, liga tersebut mensyaratkan sembilan pasukan dari setiap bahagian di negeri ini mendaftarkan tujuh pemain senior dan 13 pemain bawah 21 tahun.

Pasukan Piala Presiden Sarawak juga akan beraksi dalam liga itu yang bermula daripada 5 Ogos hingga 11 Ogos di Bintulu.

Sepuluh pasukan yang akan beraksi dalam Liga S ialah Miri, Bintulu, Samarahan, Limbang, Sarikei yang diletakkan dalam kumpulan A manakala Sri Aman, Kuching, Kapit, Sibu dan skuad Piala Presiden Sarawak berada dalam kumpulan B.

Jelas Abdul Rahman, dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke perlawanan separuh akhir untuk merebut wang hadiah bernilai RM30,000 untuk johan dan RM20,000 untuk naib johan.

Sementara itu, jurulatih Sarawak, Jalil Rambli berkata, ia merupakan satu langkah berani FAS untuk mengetengahkan pemain belia di negeri ini.

''Pemain belia perlu diketengahkan sebanyak mana yang mungkin bagi memastikan kita tidak ketandusan pemain,'' katanya.

Oleh: KHAIRUDDIN MOHD. AMIN

sumberArtikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4S3d7YpNC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan