Ahad, 18 Disember 2016

Bola sepak Piala FA Sarawak mahu sumbat banyak gol

ARKIB : 09/04/2000
SKUAD Bujang Senang berazam untuk menjaringkan seberapa banyak gol yang boleh ketika menentang Kedah pada kempen suku akhir pertama Piala FA 2000 di Stadium Sarawak, 11 April ini, lapor ABDUL HAMID MOHAMMAD.

Jurulatihnya, Jalil Ramli, ketika ditanya jumlah gol yang harus dijaringkan dalam perlawanan menentang Kedah kali ini, berkata: ''Seberapa banyak yang boleh''.

Bagaimanapun, menurut beliau, jumlah jaringan tidak penting kerana yang lebih penting ialah Bujang Senang mencipta kemenangan dalam perlawanan menentang Kedah sama ada di tempat sendiri ataupun di gelanggang lawan.

''Yang penting kami menang dalam perlawanan tersebut, tetapi sekiranya kami mampu menjaringkan banyak gol, ia merupakan satu bonus,'' katanya kepada Sukan Mingguan di Kuching, semalam.

Untuk itu, kata Jalil, pihaknya mungkin akan menyenaraikan penyerang kebangsaan, Bobby Pian, dalam kesebelasan utama skuad itu apabila turun membuat perhitungan dengan Kedah nanti.

Menurutnya, Bobby dijangka akan diturunkan pada perlawanan itu bagi menjana jentera serangan bagaimanapun ia bergantung sama ada pemain itu sempat balik ke Kuching sebelum perlawanan itu.

''Bobby akan beraksi bersama kami sekiranya dia sempat balik ke Kuching. Kemungkinan besar saya akan menurunkannya,'' kata Jalil.

Menurutnya, dengan kembalinya Bobby bersama Bujang Senang, dijangka akan memantapkan lagi taring Sarawak.

Selain Bobby, Sarawak musim ini mempunyai empat penyerang iaitu Ramlee Sari, Affendi Julaihi dan Zulkarnean Poasa.

Bobby kembali ke pangkuan Bujang Senang setelah skuad negara pimpinan Abdul Rahman Ibrahim gagal menempah tiket ke pusingan akhir Piala Asia apabila tewas 1-4 kepada Korea Utara, Khamis lalu.

Bobby yang diberi kepercayaan mengemudikan jentera serangan skuad kebangsaan telah menjaringkan satu gol iaitu ketika menentang Taiwan baru-baru ini.

Bagaimanapun skuad negara tewas 2-3 kepada Taiwan dalam perlawanan tersebut.

Mengulas perlawanan Selasa nanti, Jalil berkata, ia bukanlah satu tugas yang mudah bagi Bujang Senang kerana Kedah bukanlah pasukan sebarangan.

''Ia bukan calang-calang pasukan kerana sebelum ini mereka mampu membelasah Melaka 6-0. Justeru ia bukan tugas mudah buat kami,'' katanya.

Ketika diminta mengulas rekod buruk Bujang Senang ketika berhadapan dengan Kedah dalam perlawanan yang cukup penting sebelum ini Jalil berkata:

''Rekod kurang memuaskan itu bukan satu penghalang buat Bujang Senang untuk mencipta kemenangan dalam perlawanan Selasa ini.

''Dulu lain, sekarang lain. Pasukan yang membarisi Kedah musim ini kebanyakannya muka baru. Begitu juga dengan Sarawak.

''Jadi rekod kurang memuaskan itu tidak mematahkan semangat kami untuk berjuang,'' katanya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0409&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4TFqw1S8i © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan