Ahad, 4 Disember 2016

Sarawak hampiri Piala Malaysia

ARKIB : 14/06/1999
SARAWAK menganggap mereka sudah menempah tiket untuk pertandingan bola sepak Piala Malaysia meskipun secara matematik dua tempat masih menjadi saingan tiga pasukan.

Selain Sarawak, Kuala Lumpur dan Terengganu masih mengintai peluang untuk memburu tempat. Tiga pasukan itu hanya dipisahkan dengan satu dan dua mata.

Atas kertas, peluang skuad Bujang Senang dilihat lebih terbuka luas. Jika layak bermakna, ini kali ketiga berturut-turut, Sarawak layak beraksi dalam pertandingan yang dianggap berprestij.

Kejayaan memungut dua mata selepas mengalahkan Negeri Sembilan 4-2 menerusi sepakan penalti di Stadium Tuanku Abdul Rahman di Paroi, Seremban kelmarin membuka ruang terbaik kepada skuad Bujang Senang mengetuk pintu cabaran Piala Malaysia kali ini.

Apa pun, Sarawak masih perlu menanti perlawanan terakhir menentang Sabah, Sabtu ini.

Jurulatih Sarawak, Abdul Jalil Rambli mempunyai andaian sendiri bahawa pasukannya sudah layak ke saingan Piala Malaysia musim ini.

Katanya, jika Bujang Senang tewas sekalipun kepada Sabah, mereka akan berada pada anak tangga keenam dan secara automatiknya layak.

''Antara Kuala Lumpur dan Terengganu, salah satunya akan pasti memasuki Piala Malaysia,'' ujarnya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Mengenai pertemuan dengan Sabah, Jalil berkata, pasukannya akan bermain seperti biasa dan berazam mempamerkan persembahan terbaik.

Menurutnya, para pemain akan berusaha untuk menebus kekalahan 1-2 kepada 'Negeri Di Bawah Bayu' yang dialami pada pusingan pertama di Stadium Likas, 24 April lalu.

Sementara itu, Jalil berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya yang telah berjaya memberi persembahan kental ketika menentang Negeri Sembilan kelmarin.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0614&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4RsaUHx9p © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan