Sabtu, 3 Disember 2016

Laluan Bujang belum senang

ARKIB : 27/05/1999
HAJAT Sarawak untuk mencari kemenangan pada suku akhir pertama Piala FA termakbul biarpun sekadar mengatasi Kuala Lumpur dengan jaringan tipis di Stadium Sarawak, Petra Jaya, kelmarin.

Namun begitu, berbekalkan kemenangan 1-0 di gelanggang sendiri belum pasti mengundang laluan yang selesa bagi skuad Bujang Senang untuk menapak lebih jauh dalam saingan Piala FA kali ini.

Sebaliknya pasukan Bumi Kenyalang terpaksa berdepan dengan tugas berat apabila berdepan sekali lagi dengan skuad warga kota pada suku akhir kedua di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, 2 Jun ini.

Ini memandangkan Kuala Lumpur juga menyimpan cita-cita untuk mara lebih jauh lagi dalam Piala FA musim ini walaupun pasukan tersebut dibarisi pemain-pemain baru yang berpotensi.

Jurulatihnya, Mat Zan Mat Aris tentu akan membuat percaturan terbaik untuk mengekang pergerakan Sarawak dan seterusnya memastikan cabaran Bujang Senang dapat dijinakkan.

Sebenarnya, Sarawak mempunyai banyak peluang untuk melakarkan jaringan yang lebih kukuh, tetapi penyudah yang tidak tepat dan liar membolehkan anak-anak buah Abdul Jalil Rambli sekadar berpuas hati dengan gol tunggal Ramles Sari pada minit ke-12.

Kelalaian memberi ruang kepada pasukan lawan terutama pada separuh masa kedua memberi kesempatan kepada pemain Kuala Lumpur untuk melancarkan serangan demi serangan yang hampir membawa padah kepada pasukan tuan rumah.

Jurulatih, Jalil tidak menafikan hakikat itu dan menyatakan rasa kurang berpuas hati dengan sajian permainan yang dipamerkan oleh anak-anak didiknya khususnya pada babak kedua perlawanan.

''Pemain Sarawak banyak memberi ruang kepada pemain lawan untuk bergerak bebas pada separuh masa kedua.

''Ini menyebabkan jentera Bujang Senang ada ketikanya kelihatan kelam kabut dan pergerakan mereka tidak lancar,'' katanya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, dia akan segera memperbaiki kelemahan itu dan berharap dapat menunjukkan persembahan lebih mantap pada suku akhir kedua di gelanggang lawan, Selasa depan.

Bagaimanapun, pada keseluruhannya dia berpuas hati dengan prestasi dan semangat daya juang yang ditunjukkan oleh barisan pemain.

''Biarpun dengan kemenangan tipis 1-0, namun ia dapat menyuntik semangat kepada pemain untuk beraksi lebih cemerlang lagi,'' katanya.

Jalil berkata, kemenangan itu juga dapat dijadikan inspirasi apabila Sarawak menentang Pulau Pinang dalam saingan liga di gelanggang sendiri, Sabtu ini.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0527&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RmSI5VMN © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan