ARKIB : 17/09/1999
BEKAS juara liga, Sarawak tidak
gentar sekalipun dibariskan dalam 'kumpulan maut' pada pertandingan bola sepak
Piala Malaysia 1999 yang dijadualkan bermula 25 September ini.
Menyifatkan kedudukan dalam
kumpulan B sebagai amat mencabar, skuad Bujang Senang yang pernah ditabalkan
sebagai juara Piala FA pada 1992 akan berdepan jiran tetangga, Sabah pada
perlawanan pembukaan di gelanggang sendiri.
Jurulatih Sarawak, Abdul Jalil
Rambli berkata, pasukannya akan berjuang habis-habisan untuk memperoleh
kemenangan sulung dan seterusnya empat cabaran yang akan ditempuh selepas itu.
Katanya, beliau yakin anak-anak
buahnya mampu memberi persembahan terbaik meskipun lawan yang akan ditentang
bukan calang-calang pasukan.
Katanya, Pahang, Kuala Lumpur,
Johor, Sabah dan Brunei merupakan pasukan-pasukan yang hebat dan memiliki
barisan pemain muda yang berpotensi.
Sarawak pernah mara ke
peringkat separuh akhir Piala Malaysia iaitu pada 1988, 1993, 1995 dan 1996,
tetapi cabarannya dicantas oleh pasukan lawan.
''Kita tidak meletakkan sasaran
tinggi dalam kempen Piala Malaysia kali ini.
''Namun begitu, barisan pemain
Bujang Senang akan berusaha sedaya-upaya untuk mencapai kejayaan yang
membanggakan dan seterusnya berazam memenangi Piala Malaysia,'' ujarnya di
Kuching, semalam.
Menurut Jalil, Sarawak pernah
bersaing dengan semua pasukan dalam kumpulan B kecuali Johor dalam persaingan
Liga Perdana.
Sehubungan itu, katanya, Bujang
Senang serba sedikit dapat mengetahui kekuatan dan kelemahan yang ada pada
pasukan-pasukan berkenaan.
''Bagaimanapun, keputusan pada
cabaran liga tidak harus dijadikan ukuran terhadap prestasi pasukan yang layak
bertanding dalam Piala Malaysia.
''Oleh itu, Bujang Senang akan
berusaha memantapkan lagi kekuatan di setiap posisi bagi menghadapi cabaran
sebenar,'' ujarnya.
Pada pusingan pertama cabaran
liga, Sarawak seri tanpa jaringan dengan Pahang, tetapi menang melalui
tendangan penalti 4-3; seri 1-1 dengan Kuala Lumpur (menang penalti 5- 4);
mengalahkan Brunei 3-1 dan tewas 1-2 kepada Sabah.
Pusingan kedua liga pula
menyaksikan Bujang Senang kecundang 0-2 kepada Pahang; mengalahkan Kuala Lumpur
5-1; tewas 0-1 kepada Brunei dan seri 2-2 dengan Sabah (kalah 2-4 melalui
penalti).
Jalil berkata, setiap pasukan
dalam kumpulan B mempunyai kelebihan dan kekuatan masing-masing, begitu juga
pasukan yang bernaung dalam kumpulan A.
Beliau berkata, skuad Bujang
Senang akan mula turun menjalani latihan petang esok selepas mengadakan tiga
perlawanan persahabatan dengan pilihan Johor dan kelab Geylang FC, Singapura
mulai 9 hingga 14 September lalu.
Beliau berkata, pada perlawanan
ujian tersebut, Sarawak tewas kepada Johor 0-1 dan menang 3-2 pada perlawanan
kedua, sementara kecundang 1-2 di tangan Geylang FC.
''Beberapa kelemahan telah
dapat diperbaiki antaranya di bahagian serangan. Pemain-pemain muda seperti
Jeffry Lana, Roziman Rambli dan Samsul Napiah turut menunjukkan prestasi
menggalakkan,'' ujarnya.
Oleh: ANUAR ARIFFIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0917&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SGKOUPam
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan