ARKIB : 02/12/1999
SKUAD Sarawak menjalani latihan
di Stadium Sarawak di Kuching semalam. - Gambar AZMAN AHMAD
BARISAN pemain Sarawak
diingatkan supaya bermain bermati-matian di samping mengekalkan disiplin diri
yang tinggi pada perlawanan akhir Piala Malaysia episod ke-33 di Stadium
Merdeka, Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Timbalan Presiden Persatuan
Bola Sepak Sarawak (FAS), Zaidi Khaldin Zainie berkata, biarpun bersaing di
gelanggang asing tanpa penyokong yang ramai, mereka diminta supaya menganggap
Stadium Merdeka sama seperti Stadium Sarawak.
''Kamu semua perlu bermain
dengan bersungguh-sungguh bersendikan semangat perjuangan yang kental.
''Kejayaan yang dilakar sudah
pasti akan mengangkat nama dan martabat Sarawak selaku pasukan bola sepak yang
dihormati dan disegani pihak lawan,'' ujarnya ketika memberi kata-kata
perangsang kepada para pemain di Stadium Sarawak, Petra Jaya, semalam.
Zaidi berada hampir sejam
bersama-sama skuad Bujang Senang yang menjalani latihan intensif sebagai
persiapan menghadapi Brunei pada perlawanan akhir nanti.
Turut hadir pada sesi latihan
itu ialah jurulatih, Abdul Jalil Rambli dan penolongnya, Roslan Ismail.
Beliau berkata, setiap pemain
perlu mengekalkan prestasi cemerlang dan berazam untuk mempamerkan corak
permainan yang terbaik.
Katanya, inilah peluang terbaik
bagi skuad Bumi Kenyalang untuk menempa sejarah gemilang merangkul Piala
Malaysia buat pertama kali selepas menantikannya sejak 25 tahun lalu.
''Saya percaya dan yakin
pemain-pemain Sarawak mampu melakukannya,'' ujarnya.
Menurut Zaidi, hakikat itu
berdasarkan komitmen dan kesungguhan tinggi pemain dalam mengibar cabaran
Bujang Senang sepanjang saingan liga dan peringkat suku akhir serta separuh
akhir Piala Malaysia musim ini.
Kecuali Piala Malaysia, Sarawak
pernah mengecap nikmat menjulang Piala FA pada 1992, juara Liga Perdana Satu
(1997) dan juara Piala Sumbangsih (1998).
Semua kejuaraan itu diperoleh
semasa Bujang Senang dibimbing jurulatih import dari Australia, Alan Vest.
Sementara itu, skuad Bujang
Senang berlepas ke Kuala Lumpur awal pagi ini.
Turut mengucapkan selamat jalan
kepada para pemain dan pegawai-pegawai FAS ialah Ketua Menteri, Tan Sri Abdul
Taib Mahmud dan Presiden FAS, Datuk Mohd. Taha Ariffin.
Oleh: ANUAR ARIFFIN
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4SiMVlGBa
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan