Ahad, 11 Disember 2016

Jalil mengaku pasukan Brunei lebih kuat

ARKIB : 03/11/1999
ABDUL Jalil Rambli mengakui, Brunei adalah pasukan pilihan untuk merangkul kejuaraan bola sepak Piala Malaysia musim ini tetapi jurulatih itu optimis skuadnya mampu memadamkan jangkaan itu, lapor JOHARI SHAWAL.

''Brunei memiliki pemain import berwibawa dan mereka pula dilatih oleh jurulatih import berkaliber. Mereka ada kelebihan tetapi kami ada strategi untuk memadamkan kelebihan mereka pada perlawanan akhir nanti,'' kata Jalil.

Menurutnya, dibandingkan dengan dirinya yang baru setahun jagung melatih Sarawak, jurulatih lawan, Michael Jones lebih berhak menjulang piala berprestij itu berdasarkan pengalamannya membawa beberapa kelab England ke perlawanan akhir liga negara itu dalam tempoh 20 tahun ini.

''Tetapi tidak bermakna kami akan menyerahkan mahkota Piala Malaysia semudah itu kepada Brunei. Mereka perlu bertarung dan kami akan tentang mereka,'' kata Jalil di Kuala Lumpur, semalam.

Skuad Bujang Senang tiba di ibu negara petang semalam dan menjalani latihan ringan di Padang Hospital Kuala Lumpur menjelang perlawanan akhir menentang Brunei di Stadium Merdeka, malam esok.

Menurut Jalil, dengan adanya penyerang berbisa Brunei, Mohd. Brian Iman Bothwell dan Raphael Patron Akakpo - tenaga utama pasukan lawan yang membawa mereka ke akhir buat pertama kali dalam sejarah Piala Malaysia - selain percaturan baik Jones, sememangnya Brunei menjadi pilihan.

''Dua pemain ini memang berbahaya dan jika tidak dikawal dengan sebaiknya, mereka mampu memusnahkan impian kita,'' katanya.

Begitu pun menurut Jalil, pasukannya akan bermain secara terbuka dan tidak menugaskan sesiapa untuk mengawal seseorang pemain lawan.

''Kami tidak bermain secara man-to-man marking. Bagi saya, siapa yang paling dekat dengan pemain tertentu, dialah yang mengawal pemain itu,'' katanya.

Sarawak menyandarkan harapan kepada pasangan kembarnya, Ramos dan Ramles Sari untuk menyumbangkan sesuatu pada perlawanan akhir nanti selain penyerang Bobby Pian dan pemain tengah, Affendi Sugandi.

''Saya cuma berharap Ramos dan Bobby menemui sentuhan di depan gawang Brunei nanti dan sudah tentu mereka harus dibantu oleh rakan-rakan,'' ujar Jalil.

Ramos dan Ramles merupakan penjaring terbanyak Sarawak dalam Piala Malaysia musim ini dengan masing-masing menjaringkan enam gol.

Begitu pun, Sarawak kehilangan pemain tengahnya, Mohd. Ali Sapiee yang digantung perlawanan selepas menerima kad kuning pada perlawanan menentang Terengganu pada aksi separuh akhir.

''Mungkin semangat kenegaraan mampu membantu Sarawak menjulang Piala Malaysia buat pertama kali,'' tambah Jalil merujuk kepada Sarawak yang sebenarnya mewakili Malaysia menentang Brunei.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4SacFeAmi © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan