ARKIB : 25/01/2000
BEKAS penyerang Sarawak,
Affendi Julaihi petang semalam menyertai sesi latihan pasukan itu dengan
harapan untuk membantu skuad Bujang Senang mencapai kejayaan lebih baik dalam
saingan bola sepak Liga Perdana musim ini.
Dia yang dipanggil bersama
empat lagi pemain baru dari negeri itu akan diuji oleh pengurusan teknikal
Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) yang diterajui oleh jurulatih, Jalil Ramli.
Berbekalkan semangat yang
tersimpan sejak dua tahun meninggalkan pasukan negeri asalnya, Affendi berharap
peluang lebih gemilang bersama skuad tersebut akan tercapai kali ini.
''Saya harap dapat sesuaikan
diri dengan corak latihan yang dikendalikan oleh Jalil, mungkin saya perlukan
masa sedikit untuk sesuaikan diri selepas beberapa tahun tidak bersama skuad
negeri.
''Mungkin gaya permainan di
sini agak berbeza dengan apa yang saya lalui dahulu, tetapi saya akan
mempamerkan kesungguhan dengan sebaik mungkin,'' katanya selepas sesi latihan
pertama skuad bola sepak Sarawak di Stadium Sarawak, Petra Jaya Kuching semalam.
Mengulas penglibatannya selepas
bersama pasukan Negeri Sembilan dan Kelantan sejak 1998, Affendi menjelaskan
dia akan berusaha menunjukkan permainan terbaik musim ini.
''Selepas dua tahun beraksi
dengan pasukan lain, saya yakin dapat mencurahkan pengalaman itu untuk pasukan
ini. Saya percaya dapat menyesuaikan diri dengan corak latihan Jalil,''
ujarnya.
Mengenai peluang pemain itu
untuk terpilih dalam pasukan Sarawak, Affendi berkata, saingan agak sengit
terutama dengan kehadiran beberapa pemain muda seperti Zolkarnaen Mohd. Poasa.
Ujarnya, pemain-pemain baru
mungkin mempunyai kelebihan sewaktu ujian kepantasan dalam menggerakkan
serangan.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4StXocIrZ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan