Selasa, 13 Disember 2016

Jalil berjaya tebus kehampaan dua jurulatih Sarawak

ARKIB : 29/11/1999
SELEPAS berjuang selama 25 tahun, akhirnya Sarawak mengukir sejarah apabila berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir bola sepak Piala Malaysia musim ini

Tanpa disangka, Abdul Jalil Rambli, 38, yang diberi kepercayaan mengemudi skuad Bujang Senang berjaya membawa Sarawak ke pentas saingan akhir Piala Malaysia edisi ke-33 ini.

Kejayaan itu bermakna Jalil berjaya menebus kehampaan dua bekas jurulatih Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamad dan Alan Vest yang gagal membawa pasukan Bumi Kenyalang beraksi di perlawanan akhir selepas kecundang empat kali di peringkat separuh akhir iaitu pada 1988, 1993, 1995 dan 1996.

Bujang Senang melangkah bergaya ke pentas akhir selepas beraksi cemerlang menyingkirkan cabaran naib juara Piala Malaysia musim lalu, Terengganu dengan agregat 3-1.

Anak-anak didik Jalil bertindak garang apabila mengalahkan skuad Penyu 2-0 dalam perlawanan menarik yang disaksikan lebih 30,000 penonton di Stadium Sarawak, Petra Jaya, kelmarin selepas terikat 1-1 di Kuala Terengganu.

Dua gol emas Sarawak itu diperoleh melalui jaringan Bobby Pian pada minit-69 dan Ramles Sari, tiga belas minit kemudian.

Lawan Bujang Senang pada perlawanan akhir 4 Disember ini ialah jiran tetangganya, Brunei yang turut memahat sejarah mara ke perlawanan akhir buat kali pertama.

Brunei mengetepikan Negeri Sembilan dengan agregat 4-3 biarpun kecundang 1-3 di Stadium Paroi, Seremban, kelmarin.

Sebelum itu, Tebuan terlebih dahulu 'menyengat' Si Rusa 3-0 di tempat sendiri pada 21 November lalu.

Mengulas perlawanan kelmarin, Jalil berkata, dia bersyukur di atas kemenangan itu dan menyifatkan ia sebagai bukti keazaman pemain untuk membawa Sarawak layak ke perlawanan akhir buat kali pertama.

Katanya, para pemain telah memaparkan semangat perjuangan yang tinggi dan dedikasi.

''Kemenangan ini adalah hadiah kepada rakyat Sarawak dan para penyokong setia Bujang Senang.

''Ia juga ditujukan kepada Allahyarham bapa saya yang telah meninggal dunia baru-baru ini,'' ujarnya dalam nada terharu dan gembira di Kuching, semalam.

Jalil berkata, walaupun beberapa pemain seperti Ramos dan Ramles Sari, Bobby Chua dan Nazri Yunus tidak begitu cergas, tetapi mereka tetap mahu diturunkan untuk membantu Bujang Senang mencapai kemenangan yang sangat penting itu.

Katanya, kejayaan yang diraih itu agak 'memeranjatkan' dan di luar jangkaan kerana matlamat asal ialah untuk memastikan Sarawak bermain dalam Divisyen Satu tahun depan.

''Tetapi, para pemain kita telah membuktikan bahawa mereka boleh mara sehingga ke peringkat akhir,'' jelasnya yang juga merupakan bekas pemain dan ketua pasukan Bujang Senang.

Mengenai persediaan menghadapi Brunei, katanya, latihan akan dimulakan dalam beberapa hari lagi.

Sementara itu jurulatih Terengganu, Yunus Alif menerima kekalahan itu dengan hati terbuka dan menyifatkan Sarawak telah bermain dengan begitu cemerlang.

Katanya, para pemain Terengganu telah memberi saingan hebat kepada pasukan tuan rumah tetapi kelonggaran di barisan pertahanan telah membolehkan Bujang Senang mendapat gol semangat pada minit ke-69.

''Kita akan lebih bersedia lagi pada musim depan dan berjanji untuk mempamerkan persembahan yang lebih mantap lagi,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1129&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_01.htm#ixzz4ShqTkblF © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan