ARKIB : 02/11/1999
BEKAS juara liga, Sarawak akan
meneruskan misinya dalam memburu tempat ke separuh akhir apabila menentang
Kuala Lumpur pada pusingan kedua kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Bola Sepak
Cheras, malam ini, lapor ANUAR ARIFFIN.
Ketika bayangan dua calon untuk
mewakili kumpulan B ke separuh akhir musim ini belum begitu jelas, Bujang
Senang akan berjuang habis-habisan untuk menyalakan nasibnya.
Brunei, Pahang dan Sarawak kini
bersaing hebat untuk mengisi dua kuota tersebut sementara Sabah turut mempunyai
peluang untuk memintas laluan salah satu daripada tiga pasukan berkenaan.
Skuad 'Tebuan' dan 'Tok Gajah'
masing-masing mengumpul 14 mata sementara Bujang Senang dengan 13 mata.
Justeru, Bujang Senang perlu
memenangi perlawanan malam ini bagi mencerahkan laluannya ke peringkat separuh
akhir.
Bukan itu saja, kejayaan
membawa pulang tiga mata berharga ke Bumi Kenyalang sekurang-kurangnya dapat
dijadikan penawar kepada 11 penyokong skuad Bujang Senang yang mengalami cedera
parah selepas bas yang mereka naiki terbalik berhampiran tebing Sungai Batang
Undup dekat Sri Aman, pagi Ahad lalu.
Mangsa terbabit sedang dalam
perjalanan pulang ke Bintulu selepas menyaksi dan memberikan sokongan moral
kepada Bujang Senang yang bertarung menentang 'Jengking' di Stadium Sarawak,
Petra Jaya, Sabtu lalu ketika kejadian berlaku pada kira-kira pukul 3.15 pagi.
Jurulatih Bujang Senang, Abdul
Jalil Rambli yakin anak-anak buahnya mampu memberi persembahan mantap seperti
mana yang ditunjukkan ketika mengalahkan Johor dua hari lalu.
Katanya, biarpun beraksi di
gelanggang lawan, Bujang Senang tetap akan berjuang tanpa memberi laluan mudah
kepada Kuala Lumpur.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1102&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4SXcyu5MW
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan