Khamis, 8 Disember 2016

Sarawak guna khidmat pemain Olimpik 2000

ARKIB : 07/09/1999
SARAWAK dijangka akan memperoleh khidmat dua tenaga muda skuad Olimpik 2000 dalam memperkuatkan cabaran pasukan itu menghadapi kempen Piala Malaysia yang bermula 21 September ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Ini berikutan proses untuk mendapatkan khidmat Johnny Joseph dan Gilbert Gawing dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah dilakukan oleh pengurusan Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) baru-baru ini.

Jurulatih, Abdul Jalil Rambli berkata, FAM telah pun memberi lampu hijau kepada permohonan FAS untuk mendapatkan khidmat kedua-dua pemain tersebut.

''Kita sedang menunggu kelulusan dari FAM berhubung perkara ini.

''Pengalaman yang diperoleh oleh Johnny dan Gilbert akan dapat dimanfaatkan untuk membantu Sarawak mencapai kejayaan cemerlang pada saingan Piala Malaysia nanti,'' katanya di Kuching, semalam.

Sementara itu, Jalil berkata, kedua-dua pemain Olimpik 2000 itu tidak akan dibawa bersama-sama skuad Sarawak yang akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan di Johor dan Singapura mulai 9 hingga 14 September ini.

Menurutnya, Johnny mengalami kecederaan sewaktu menjalani latihan, manakala Gilbert masih belum menunjukkan keupayaan yang memberangsangkan.

''Buat masa ini kedua-dua pemain ini akan terus menjalani latihan di Stadium Negeri,'' jelasnya.

Mengenai pemain lincah, Safri Amit yang dilaporkan mengalami kecederaan di lutut kanan, Jalil berkata, keadaan pemain kelahiran Sarikei itu tidak begitu serius.

Katanya, Safri akan turut dibawa bersama ke Johor dan Singapura untuk memantapkan cabaran Bujang Senang dalam perlawanan persahabatan itu.

''Perlawanan persahabatan ini penting bagi menilai sejauh mana kemampuan dan kecergasan sebenar pemain menjelang cabaran Piala Malaysia,'' ujarnya.

Menurut Jalil, beliau gembira dengan kejayaan skuad Bujang Senang yang telah berjaya mengatasi Kelab Stadium FC 7-2 dan Landas 8-1 dalam perlawanan persahabatan tiga hari lalu.

Jelasnya, masih ada beberapa lagi aspek yang perlu diperbaiki walaupun kelemahan di bahagian penyudah sudah menunjukkan peningkatan yang menggalakkan.

''Usaha memperbaiki kelemahan ini akan terus dijalankan dan berharap perlawanan persahabatan dengan Johor dan Singapura akan memberi peluang terbaik kepada pemain untuk mengatasinya,'' katanya.

Jalil berkata, Sarawak berazam untuk memberi cabaran terbaik pada Piala Malaysia musim ini walaupun tidak meletakkan sebarang sasaran tinggi.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0907&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4SFhtxVNs © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan