Sabtu, 3 Disember 2016

Sarawak tanpa penyerang berwibawa

ARKIB : 04/06/1999
JALIL Rambli, wajar dipuji kerana berjaya membawa saingan pasukan Sarawak sehingga ke peringkat suku akhir Piala FA walaupun tewas kepada Kuala Lumpur dalam penentuan sepakan penalti di Stadium KLFA, semalam, lapor JOHARDY IBRAHIM.

Kerana sebagai jurulatih baru Sarawak bagi musim ini setelah sembilan tahun dibimbing oleh Alan Vest, pencapaian Jalil pada peringkat awal ini adalah baik.

Malangnya, Jalil mewarisi penyakit lama Alan Vest iaitu membimbing pasukan yang tidak mempunyai penyerang berwibawa untuk melakukan penyudah yang sempurna.

Betapa benteng pertahanan Kuala Lumpur yang dikemudi P. Saravanan nyata begitu kukuh untuk ditembusi oleh penyerang Sarawak yang diketuai oleh Bobby Pian dan Mohd. Safri Amit.

Pun begitu, beberapa peluang keemasan yang sekali sekala menjelma tidak langsung dapat direalisasikan waima oleh Bobby mahupun Safri atau Ramos Sari.

Perlawanan yang meleret sehingga ke masa tambahan 30 minit dan berakhir dengan penentuan sepakan penalti, nyata menghampakan beberapa ratus penyokong setia Sarawak yang menduduki sudut sebelah kiri Stadium KLFA, Cheras itu.

Untuk kesekian kalinya, Sarawak mempamerkan aksi yang begitu mengecewakan. Terdengar rungutan penyokong Sarawak, bagaimanakah pasukan negeri mereka boleh membelasah Kuala Lumpur 5-1 dalam perlawanan Liga beberapa minggu lalu.

Oleh kerana rata-rata mereka terdiri daripada pelajar atau yang menetap di ibu negara, mereka hanya mampu melihat aksi jaringan-jaringan gol menerusi televisyen.

''Gol-gol semua cantik. Semuanya disepak dari luar kotak penalti. Tapi malam ini, boleh dikira dengan jari bilangan Sarawak mencuba penjaga gol KL (Kamarul Idham Amiruddin),'' kata seorang penyokong.

''Sidak ya cuak?'' (Mungkinkan mereka takut?) ujar seorang lagi, yang datang dari Klang (sama jarak Kuching ke Serian) untuk memberi sokongan.

Sebagai pemain utama sejak zaman skuad Ngap Sayot pada era lewat 80-an dulu, Jalil seharusnya sedar betapa kemelut yang mencacatkan persembahan pasukannya sejak kebelakangan ini.

Langkah Jalil sewajarnya disokong dengan memperkenalkan penyerang-penyerang baru seperti Mohd. Safri dan Shamsudin Hasan sebagai pelapis kepada pemain senior sedia ada.

Mereka digandingkan dengan pemain senior seperti Bobby, Ramos dan saudara kembarnya, Ramles serta Nazri Yunos dan Mohd. Ali Shafie.

Malah, kesungguhan Jalil untuk membentuk Safri terutamanya, sebagai penyerang utama bagi mengetuai jentera depan Sarawak pada alaf akan datang juga tidak pernah padam.

Beliau masih menaruh keyakinan ketika para penyokong setia mula mempertikaikan kemampuan sebenar Safri yang hanya mampu menjaringkan dua gol setelah melalui 14 perlawanan liga.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0604&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4RppVzPT4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan