ARKIB : 12/05/1999
PERSEMBAHAN bertenaga Sarawak
menyaksikan pasukan itu berpesta gol dengan membenam Kuala Lumpur 5-1 dalam
perlawanan Liga Perdana di Stadium Sarawak, Kuching semalam.
Gol Sarawak diperoleh menerusi
Ibrahim Mantali (m 14) dan Ramles Sari (m 30) dan Ramos Sari (m 43, 66), Mohd.
Safri Amit (m 52) manakala gol pasukan pelawat dihasilkan oleh S. Saravanan (m
65).
Lima daripada enam gol yang
dihasilkan pada perlawanan semalam dihasilkan menerusi percubaan dari luar
kotak penalti.
Sarawak yang mula mengatur
serangan sebaik sahaja wisel dibunyikan mula mendahului kerana kesilapan
pertahanan Kuala Lumpur yang menyaksikan bola tersekat di kaki Ramos Sari lalu
melorongkan bola kepada Ibrahim Mantali.
Ibrahim yang tidak dikawal
merembat kencang menewaskan penjaga gol Mohd. Effendy Kamsah untuk membolehkan
skuad Bujang Senang mendahului.
Gol semangat itu menjanjikan
permainan yang rancak dengan kedua-dua pasukan berbalas asakan bagaimanapun
pasukan pelawat dikejutkan sekali lagi apabila tendangan percuma yang diambil
oleh Ramles Sari di luar kotak penalti mudah menewaskan benteng pertahanan lalu
menerjah jaring.
Peluang terbaik Kuala Lumpur
untuk merapatkan jurang kunjung tiba pada minit ke-37 apabila bola tendangan
percuma pasukan pelawat terkena Nazri Yunus lalu bergolek sipi di tiang kiri
gol Sarawak.
Malang terus melanda Kuala
Lumpur dua minit sebelum wisel rehat dibunyikan apabila rembatan Ramos Sari
dari jarak 25 meter melepasi jangkauan Mohd. Effendy bagi membolehkan Sarawak
mendahului 3-0 dalam separuh masa pertama.
Kedua-dua pasukan
bertukar-tukar asakan sebaik sahaja permainan disambung semula namun nasib
terus tidak menyebelahi Kuala Lumpur apabila gawangnya dibolosi tandukan pemain
muda Mohd. Safri pada minit ke-52.
Kuala Lumpur hanya mampu
memperoleh gol saguhati pada minit ke-65 menerusi S. Saravanan pada minit ke-65
sebelum skuad Bujang Senang membalas melalui Ramles seminit selepas itu.
Oleh: KHAIRUDDIN MOHD. AMIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0512&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_09.htm#ixzz4RkbSCyyB
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan