ARKIB : 23/11/1999
SARAWAK akan menurunkan barisan
yang mantap apabila turun menentang Terengganu pada peringkat separuh akhir
pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala
Terengganu, malam ini.
Menyedari inilah peluang
terbaik bagi skuad Bujang Senang untuk melakarkan sejarah melayakkan diri ke
perlawanan akhir Piala Malaysia edisi ke-33, para pemain berjanji untuk
mempamerkan persembahan yang terbaik.
Malah, mereka mahu mencatat
kemenangan yang selesa di gelanggang lawan bagi memastikan tiada bebanan yang
terpaksa dipikul pada perlawanan pusingan kedua di Kuching, 27 November ini.
Jurulatih Bujang Senang, Abdul
Jalil Rambli berkata, anak- anak buahnya kini sudah bersedia untuk menghadapi
perlawanan yang sangat penting ini.
Katanya, sepanjang sesi latihan
yang dijalani beberapa hari lalu, kecergasan dan prestasi pemain semakin
meningkat.
''Begitu juga prestasi yang
ditunjukkan oleh pemain-pemain muda seperti Gilbert Gawing, Johnny Joseph,
Jeffry Lana, Effandi Sugandi dan Safri Amit, semuanya cergas dan meyakinkan.
''Saya yakin Sarawak mampu
menunjukkan permainan yang berkualiti malam ini walaupun tentangan pihak lawan
pasti sengit dan mencabar,'' ujarnya di Kuching, semalam.
Menurut Jalil, Bujang Senang
akan berjuang habis- habisan bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Bumi
Kenyalang.
Katanya, dengan kehadiran
semula pemain licik, Ramos Sari bersama gandingan Ramles Sari dan Bobby Pian di
barisan depan, jentera Bujang Senanag disifatkan sebagai paling ampuh untuk
perjuangan separuh akhir malam ini.
''Bagaimanapun, kita tidak
perlu leka dan cuai kerana Terengganu bukan sebarang pasukan yang mudah
ditumpaskan.
''Selaku naib juara Piala
Malaysia musim lalu, pasukan itu sudah tentu menyimpan hasrat untuk memburu
tempat ke final sekali lagi dan seterusnya menjulang piala berprestij
tersebut,'' ujarnya.
Pada perlawanan liga, Sarawak
dan Terengganu seri 1-1 di Kuching tetapi mencuri dua mata kerana berjaya
mengatasi lawan 5-4 menerusi tendangan penalti.
Ini merupakan kejayaan kali
kelima Sarawak beraksi dalam peringkat separuh akhir Piala Malaysia selepas
tahun 1988, 1993, 1995 dan 1996.
Bujang Senang tewas kepada Kedah
dengan agregat 1-2 pada 1988, 2-3 kepada Singapura (1993), 2-3 kepada Selangor
(1995) dan 0-3 kepada Sabah (1996).
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1123&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4ShhDKzxC
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan