ARKIB : 04/05/1999
BERBEKALKAN kemenangan tipis
1-0, Sarawak pasti akan menghadapi tugas berat apabila berdepan juara Piala Malaysia,
Perak dalam pusingan kedua bola sepak Piala FA di Stadium Perak, Ipoh, malam
ini.
Beraksi di gelanggang lawan,
laluan skuad Bujang Senang akan dipenuhi ranjau dan cabaran getir memandangkan
prestasi pasukan lawan kini semakin meningkat.
Apatah lagi keupayaan skuad
'Seladang' mengaibkan Kedah 2-1 pada saingan liga dua hari lalu tentunya akan
membakar semangat pemain tuan rumah untuk mencipta kemenangan seterusnya.
Namun begitu, barisan pemain
Bujang Senang yang terkenal dengan semangat juang yang tinggi sesekali tidak
akan membiarkan mereka mudah diperlakukan sesuka hati.
Kekalahan 1-0 kepada Brunei,
Sabtu lalu banyak memberi pengajaran berguna kepada anak-anak buah Abdul Jalil
Rambli untuk memperbaiki kesilapan dan tidak mensia-siakan peluang-peluang
terbaik yang diperoleh.
Yang pasti, ketumpulan jentera
Sarawak di barisan depan perlu ditajamkan selain kemantapan pada setiap
bahagian wajar diperbaiki dan ditingkatkan kejituannya.
Sehubungan itu, Jalil perlu
melakukan sesuatu yang terbaik bagi memastikan perjuangan anak-anak didiknya
malam ini menepati sasaran dan membawa pulang tiga mata penuh.
Jurulatih berusia 38 tahun itu
harus segera memperbaiki kelemahan skuadnya terutama di barisan serangan supaya
menjadi lebih berkesan.
Bagi Sarawak, perlawanan malam
ini penting untuk mencari penawar luka dan mengintai peluang bersaing pada
peringkat terbaik dalam Piala FA musim ini.
Perak pula bukan sekadar
pasukan yang boleh ditundukkan dengan mudah kerana ia mempunyai barisan pemain
yang berpotensi dan berwibawa.
Mendapat bimbingan Karl
Weigang, skuad 'Kejor Yeob Kejor' sudah pasti akan berjuang habis-habisan untuk
menyekat hasrat pasukan Sarawak untuk mencari kemenangan bermakna di gelanggang
lawan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0504&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RgWSX75W
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan