ARKIB : 13/11/1999
SARAWAK akan menurunkan barisan
terkuatnya pada pertemuan menentang Brunei pada kempen Piala Malaysia di Bandar
Seri Begawan, malam ini, KHAIRUDDIN MOHD. AMIN melaporkan.
Jurulatih Bujang Senang, Abdul
Jalil Rambli berkata, meskipun pasukannya memerlukan keputusan seri saja tetapi
ia akan tetap berjuang bersungguh-sungguh untuk membawa pulang tiga mata penuh.
Untuk tujuan itu, katanya,
skuad Bujang Senang akan bermain seperti biasa dengan menggerakkan jentera
serangan dan bertahan ketika perlu sahaja.
''Langkah ini penting bagi
memastikan Sarawak mampu memenangi perlawanan yang penting ini.
''Pada masa yang sama juga,
kita dapat mengelakkan pemain berasa terlalu yakin bahawa mereka telah pun
layak ke perlawanan separuh akhir,'' katanya di Kuching, semalam.
Menurut Jalil, walaupun Bujang
Senang hanya memerlukan satu mata saja tetapi mereka tidak akan mudah mengalah
dan berazam untuk memburu jaringan.
''Lainlah kalau kita dah layak,
ini sebelah kaki pun belum lagi masuk ke separuh akhir,'' ujarnya.
Sebagai tanda serius terhadap
perlawanan menentang Brunei malam ini, Jalil berkata, pemain simpanan hanya
akan diturunkan sekiranya keadaan memerlukannya berbuat demikian.
Katanya, ini dilakukan kerana
beliau khuatir pemain muda masih tidak dapat menghadapi tekanan permainan yang
berbeza dengan perlawanan-perlawanan sebelumnya.
Kali terakhir Sarawak
melayakkan diri ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia ialah pada 1996 di
mana ketika itu ia dibimbing oleh Alen Vest.
Bagaimanapun, Jalil tidak
terlepas daripada masalah kecederaan dan penggantungan pemain yang menyaksikan
pasangan kembar, Ramos dan Ramles Sari tidak dapat diturunkan.
Ramos masih lagi cedera
manakala Ramles pula digantung satu perlawanan selepas menerima kad merah
ketika menentang Pahang Selasa lalu.
Jalil berkata, beliau mungkin
akan memasukkan Safri Amit bagi mengisi tempat Ramles manakala beberapa pemain
lain akan bertukar posisi sebagai langkah terbaik.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SbYIMoGU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan