Jumaat, 2 Disember 2016

Bujang Senang 'malu' depan gol

ARKIB : 11/05/1999
SUDAH tiba masanya penyerang Sarawak menamatkan kemarau gol apabila berhadapan Kuala Lumpur dalam saingan pusingan kedua Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam ini, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.

Kejayaan memungut tiga mata penuh sudah tentu akan memulihkan kembali keyakinan penyokong skuad Bujang Senang terhadap kemampuan sebenar pasukan sanjungan mereka.

Bagaimanapun, ketiadaan dua tonggak utama iaitu ketua pasukan, Mohd Ali Sapiee dan Dahlan Matusin yang digantung satu perlawanan kerana memungut dua kad kuning menambah perit kepada jurulatih, Abdul Jalil Ramli untuk mencapai matlamat itu.

Menurut Jalil, beliau mungkin menurunkan pemain muda seperti Abang Mohd. Zafari Othman atau Shamsudin Hassan untuk mengisi posisi Mohd. Ali manakala Billy Winsel atau Samsul Napiah pula akan menggantikan Dahlan.

''Kemungkinan ada perubahan posisi tapi perubahan itu tidak ketara,'' katanya di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, kemenangan perlu dicipta pada perlawanan malam ini dan untuk tujuan itu, anak-anak buahnya kini sudah bersedia untuk melakukannya.

Pada perlawanan pusingan pertama di gelanggang lawan, Sarawak seri 1-1 dengan Kuala Lumpur tetapi menang 5-4 menerusi penentuan sepakan penalti.

Skuad Bumi Kenyalang merupakan pasukan yang mencatatkan kemenangan paling sedikit iaitu dua kemenangan daripada 11 perlawanan yang dilalui setakat ini.

Ini bukannya rekod yang boleh dibanggakan jika dibandingkan dengan pasukan tercorot Liga Perdana iaitu Brunei yang mampu mencatatkan empat kemenangan.

Apa yang menyelamatkan Sarawak daripada berada di tempat tercorot ialah sistem mata tambahan yang diperkenalkan pada musim ini menerusi tendangan penalti setelah permainan sepenuh masa berakhir dengan seri.

Sekiranya sistem lama diamalkan, Sarawak hanya mengutip 11 mata dan menduduki tangga terbawah.

Setakat ini, skuad Bujang Senang hanya berjaya membolosi gol lawan sebanyak 10 kali setelah bermain selama 990 minit.

''Saya memang akui kita mengalami kemarau gol kerana penyudah yang lemah dan diharapkan perlawanan malam ini menentang Kuala Lumpur akan membuka lebaran baru kepada pasukan ini,'' ujarnya.

Bagaimanapun, Jalil tidak begitu bimbang dengan kedudukan pasukannya kerana menurut mengamatannya terdapat perubahan dan peningkatan dalam setiap perlawanan yang diharungi.

Apa yang perlu dilakukan oleh para pemain ialah membuang sifat 'malu' menjaringkan gol dan mengambil kesempatan yang terhidang bagi mengimbangi kelemahan lalu.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0511&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RkacJgrT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan