Selasa, 13 Disember 2016

Sumbangan bakti Bobby Chua

ARKIB : 23/12/1999
BEKAS pemain bola sepak Sabah, Bobby Chua yang menyertai Sarawak pada Februari 1998 dengan yuran perpindahan paling rendah dalam sejarah iaitu RM9.95, semalam menyampaikan hadiah-hadiah dan angpau kepada kanak-kanak kurang bernasib baik di Princess Anne Home di Likas, dekat Kota Kinabalu.

Menggunakan sebahagian daripada bonus yang beliau terima apabila pasukan Sarawak menduduki tempat kedua di Piala Malaysia baru-baru ini, pemain barisan pertahanan berusia 32 tahun itu bersimpati dengan nasib kanak-kanak itu dan berkata: ''Hasrat saya ialah untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik.''

''Ia hanya sumbangan yang kecil sempena sambutan Krismas dan Tahun Baru,'' kata Bobby yang pulang ke Sabah untuk bercuti.

Bobby, menjadi pemain bola profesional pada 1994 dan merupakan pemain pasukan Sabah sebelum berpindah ke Sarawak.

Apabila ditanya mengenai pelan masa depan beliau, Bobby, yang kontraknya dengan pasukan Bujang Senang diperbaharui untuk setahun lagi berkata, beliau mungkin bersara sebagai pemain profesional dalam masa dua tahun lagi.

''Saya mula bermain bola di Sabah dan sudah tentu, saya mahu menamatkan kerjaya di negeri tempat lahir saya, jika khidmat saya masih diperlukan,'' kata beliau. - Bernama

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_10.htm#ixzz4Sn1a2XlI © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan