ARKIB : 03/10/1999
SARAWAK terpaksa berhempas
pulas sebelum berjaya mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada
perlawanan bola sepak kumpulan B Piala Malaysia di Stadium Sarawak, Petra Jaya,
semalam.
Gol kemenangan skuad Bujang
Senang diperoleh melalui jaringan cantik Ramos Sari minit ke-70 selepas
mendapat hantaran silang dari kembarnya, Ramles Sari.
Kemenangan itu membolehkan
Sarawak kembali bernafas semula dalam percaturan memburu tempat ke peringkat
suku akhir.
Bagi Kuala Lumpur, malangnya
terus berpanjangan kerana gagal mencipta sebarang kemenangan selepas
mengharungi tiga perlawanan.
Sarawak yang turun dengan azam
untuk memburu kemenangan mutlak kelihatan tertekan dengan asakan bertali arus
skuad warga kota yang diterajui oleh Mohd. Farid Dewan dan N. Nanthakumar.
Kuala Lumpur lebih banyak
menguasai permainan dalam 30 minit pertama permainan tetapi setiap percubaan
yang dilakukan oleh barisan hadapannya tidak menepati sasaran.
Di hadapan kira-kira 8,000
penonton, Bujang Senang mencari rentak awal melalui sepakan liar Ramos Sari
minit ke-8 dan disusuli percubaan bekas pemain Olimpik 2000, Gilbert Gawing
yang melewati sasaran lima minit kemudian.
Ramos Sari kembali mempunyai
peluang untuk meletakkan Sarawak di hadapan minit ke-33 tetapi tendangannya
serong sementara tendangan percuma Gilbert tiga minit kemudian tidak membuahkan
sebarang hasil.
Kedua-dua pasukan terus
berusaha memburu jaringan pada separuh masa kedua dengan melancarkan serangan
demi serangan.
Saingan adakalanya bertukar
menjadi sengit sehingga mengakibatkan tercetus sedikit perbalahan minit ke-66
tetapi berjaya diselesaikan oleh pengadil.
Pemain Sarawak, Bobby Chua
diperintah keluar padang selepas menerima kad merah dari pengadil minit ke-80.
Sementara itu di Stadium Likas,
Sabah menafikan kemaraan berterusan Johor selepas menang 3-2, sekali gus
memperbaiki kedudukan skuad Badak dalam kumpulan B.
Penyerang Sabah, Mohd. Jaya
Kassim menjaringkan dua gol untuk Sabah pada minit ke-23 dan 55 dan Henry
Saimpon menyumbat gol ketiga minit ke-80.
Johor memperoleh gol menerusi
bekas pemain Johor FC, penyerang Sheik Ahmad, pada minit ke-64 dan 89.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1003&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SMJMx5Q1
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan