Jumaat, 9 Disember 2016

Bujang Senang akui aksi tidak mengikut rencana

ARKIB : 04/10/1999
SARAWAK bersyukur kerana berjaya mencatat kemenangan tipis ke atas Kuala Lumpur, tetapi mengakui corak persembahan yang dipamerkan di Stadium Sarawak, Petra Jaya, kelmarin, tidak seperti yang direncanakan.

ANUAR ARIFFIN melaporkan, serba-serbi yang dilakukan pada babak pertama saingan tidak menjadi, malah kelonggaran di barisan tengah sering menjadi intaian skuad warga kota untuk melancarkan asakan bertali arus.

Penyerang pelawat yang terdiri daripada Farid Dewan, N. Nanthakumar dan S. Saravanan kerap menguji kekebalan benteng pasukan Sarawak, tetapi berjaya dicantas oleh penjaga gawang berpengalaman, Mazlan Wahed.

Jika tidak kerana jaringan penyelamat penyerang licik, Ramos Sari pada minit ke-70, nasib Sarawak mungkin akan berbeza.

Selain penonton dan peminat setia Bujang Senang akan pulang hampa, titian Sarawak untuk mara ke peringkat suku akhir Piala Malaysia musim ini pasti akan bertambah rumit.

Jurulatih Sarawak, Abdul Jalil Rambli berkata, persembahan anak-anak buahnya pada separuh masa pertama kurang menyerlah dan segala pelan rancangan gagal direalisasikan.

Katanya, mereka seolah-olah hilang rentak dan kurang menyengat sebaliknya menyaksikan pemain pasukan lawan lebih banyak mendominasikan permainan.

''Pemain-pemain Sarawak terlalu terikut-ikut dengan rentak permainan Kuala Lumpur sehingga membataskan mereka untuk melakukan serangan,'' ujarnya ketika dihubungi di Kuching, semalam.

Bagaimanapun, menurut Jalil, corak persembahan Bujang Senang kembali berubah pada saingan babak kedua bila mana mereka banyak melakukan percubaan.

Katanya, Sarawak banyak memperoleh peluang untuk menghasilkan jaringan tetapi setiap percubaan yang dilakukan tidak menepati sasaran selain ketangkasan penjaga gol Kuala Lumpur, Kamarul Idham Amiruddin menidakkan harapan pasukan tuan rumah.

''Namun begitu, jaringan tunggal Ramos Sari sudah cukup melega dan menggembirakan saya. Matlamat untuk mengutip tiga mata penuh akhirnya tercapai,'' jelasnya.

Sementara itu, Jalil berkata, dia berasa sedih kerana Bobby Chua dilayangkan kad merah dan diperintah keluar oleh pengadil pada perlawanan kelmarin.

Namun begitu, tegasnya, ketiadaan Bobby dalam kesebelasan pemain utama tidak akan menjejaskan kekuatan Bujang Senang bagi menghadapi cabaran skuad Tok Gajah, Pahang di Kuantan, Sabtu ini.

''Saya tetap menghormati keputusan pengadil,'' ujarnya.

Kejayaan kelmarin meletakkan Sarawak kini berada di tangga kedua di belakang Pahang dalam kumpulan B dengan mengutip enam mata.

Kongsi Konten di :

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4SOebjRfp © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan