Ahad, 11 Disember 2016

Sarawak menang kerana bermain lebih bijak

ARKIB : 11/11/1999 
MEMAHAMI apa yang perlu dilakukan untuk baki 24 minit terakhir perlawanan merupakan faktor penentu kemenangan Sarawak 1-0 ke atas Pahang di Stadum Sarawak di Kuching, kelmarin, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.

Malah jurulatih Sarawak, Jalil Ramli berkata, beliau tidak memberi sebarang arahan kepada pemainnya apabila Ramles Sari dibuang padang pada minit ke-66 setelah dilayangkan kad merah akibat mengutip dua kad kuning.

''Mereka faham apa yang perlu dilakukan selepas itu dan kita layak untuk menang dalam perlawanan yang penuh tekanan.

''Bukan senang bermain dengan 10 orang untuk tempoh hampir setengah jam dan apa yang penting ialah kemenangan,'' katanya.

Kemenangan penuh emosi malam kelmarin dilihat sebagai hadiah dan penghormatan kepada seorang penyokong skuad Bujang Senang, Mohd. Zaini Rosli, 26 yang terlibat dalam kemalangan jalan raya selepas menyaksikan perlawanan Sarawak-Brunei pada minggu lalu.

Mohd. Zaini meninggal dunia dua hari selepas kemalangan itu.

Menurut Jalil, walaupun kemenangan itu memberi laluan agak mudah kepada Sarawak untuk mengiringi Brunei ke separuh akhir Piala Malaysia namun Sarawak akan mendapatkan tempat mutlak.

''Pada perlawanan terakhir (menentang Brunei) di Bandar Seri Begawan kita tidak boleh leka dan yang penting ialah main ikut kemampuan dan kita akan main macam biasa,'' ujarya.

Secara matematik masih terdapat satu kekosongan dalam kumpulan B untuk Sarawak ataupun Pahang mengiringi Brunei ke perlawanan separuh akhir Piala Malaysia namun Pahang memerlukan keajaiban untuk layak.

Pasukan pantai timur itu perlu menang besar, sekurang-kurangnya dengan jaringan 4-0 ke atas Sabah dan dalam masa yang sama mengharapkan Brunei menumpaskan Sarawak pada perlawanan terakhir.

Menyedari peluang yang tipis itu, jurulatih Pahang Fuzzemi Ibrahim berkata, kini apa yang boleh dilakukan ialah cuba sedaya upaya dalam perlawanan terakhir di Kuantan itu.

Menurutnya, pada perlawanan malam kelmarin, banyak peluang dicipta namun jentera serangannya tidak memanfaatkannya.

''Kita ada sekurang-kurangnya lapan peluang tetapi tidak menjaringkan sebarang gol walaupun kita menguasai permainan tetapi keputusan adalah segala-galanya,'' ujarnya.


SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1111&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4SbCv5Fi9 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan