ARKIB : 03/05/1999
AKHIRNYA rekod tanpa kalah
Sarawak di gelanggang sendiri dalam Liga Perdana Satu musim ini tercemar
apabila tewas 0-1 kepada Brunei, kelmarin.
Lebih malang lagi, kekalahan
itu dihadirkan pada episod permulaan cabaran pusingan kedua liga dan di hadapan
hampir 8,000 penyokong setia pasukan tuan rumah.
Pemain kulit hitam, Raphael
Patron Akakpo menjadi wira Brunei yang paling 'tidak disenangi' oleh skuad
Bujang Senang dan penyokong tempatan kerana mencalarkan penguasaan Sarawak di
lubuk sendiri.
Jaringan maut yang diciptanya
empat minit sebelum tamat permainan menyaksikan Brunei berjaya mengutip tiga
mata penuh sekali gus menunaikan hajat mereka untuk membalas dendam akan
kekalahan minggu lalu.
Apa pun, kelebihan bermain di
tempat sendiri bukan menjadi pertaruhan terbaik dan jaminan untuk sesebuah
pasukan meniti laluan mudah.
Selagi pemain gagal melakukan
penyudah dan memanfaatkan sebaik mungkin peluang yang dimiliki, selagi itulah
matlamat untuk menghasilkan jaringan tidak kesampaian.
Kecuali atas faktor nasib,
sesuatu pasukan itu akan dikalungkan kemenangan meskipun permainan yang
disajikan tidak begitu bertenaga.
Jurulatih Bujang Senang, Abdul
Jalil Rambli tidak menafikan anak-anak buahnya telah berusaha dengan sedaya
upaya untuk mencipta kemenangan, tetapi semuanya tidak menjadi.
Katanya, nasib tidak
menyebelahi Sarawak kerana setiap kali gerakan dan percubaan yang dilakukan
oleh pemainnya, ia tidak menepati sasaran.
''Sebaliknya, Brunei yang
sering melakukan serangan balas nampaknya berbaloi apabila salah satu
daripadanya berjaya menembusi pintu gol Bujang Senang,'' ujaranya di Kuching,
semalam.
Menurut Jalil, dia juga berasa
agak kecewa kerana rekod tanpa kalah Sarawak beraksi di gelanggang sendiri
akhirnya lebur juga.
Katanya, dia akan segera
memperbaiki kelemahan skuad bimbingannya sebelum menghadapi juara Piala
Malaysia, Perak pada pusingan kedua Piala FA di Ipoh, Selasa ini.
Sarawak akan berhadapan dengan
Pahang pada saingan liga di Kuantan, Sabtu depan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0503&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RgNIJCFx
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan