Rabu, 14 Disember 2016

Sarawak panggil semula Affendi Julaihi

ARKIB : 19/01/2000
BEKAS penyerang lipas kudung Sarawak yang menyarung jersi Kelantan pada Liga Perdana musim lalu, Affendi Julaihi kemungkinan akan kembali bersama skuad negeri asalnya tahun ini, lapor fNIK KHUSAIRI IBRAHIM.

Jurulatih Sarawak, Jalil Ramli berkata, peluang untuk Affendi mengharungi cabaran bersama pasukan Bumi Kenyalang sudah terbuka apabila beliau dipanggil untuk menyertai sesi latihan minggu depan.

Penyerang terkemuka berusia 31 tahun itu yang pernah bersama pasukan kebangsaan merupakan salah seorang daripada empat lagi pemain baru yang akan diuji pada sesi berkenaan.

''Jika dia dapat menyesuaikan diri dalam pasukan ini dan bermain seperti mana Affendi yang pernah kita kenal, kita mungkin menimbangkan semula penyertaan beliau ke dalam pasukan Sarawak.

''Keputusan untuk memanggil beliau adalah baik untuk Sarawak dan saya rasa dia layak untuk mendapat peluang bagi mencuba nasib,'' ujar Jalil ketika diminta mengulas mengenai barisan baru pasukan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menandatangani perjanjian penajaan ruang komentar bola sepak tulisannya 'Football Talk' antara Sarawak Press Bhd. dan LEA Sports Centre di Kuching, semalam.

Hadir mewakili LEA Sports Centre pada majlis tersebut ialah Pengarah Urusannya, Raymond Sim manakala Sarawak Press Bhd. diwakili oleh Pengurus Pemasaran dan Jualannya, Bobby Tham.

Jalil memberitahu, peluang yang diberikan kepada Affendi adalah sama seperti tiga lagi muka baru yang mula menunjukkan kemampuan dalam Liga Sarawak.

Pemain-pemain tersebut ialah Zolkarnaen Poasa, Irwan Shah dan Jeffry Yaakub.

Katanya, apa yang akan dilakukan pada musim ini ialah memantapkan barisan serangan dengan gandingan muka baru dan lama.

''Kita bersedia untuk mengharungi cabaran musim ini dengan harapan mendapat kejayaan yang lebih baik dan mampu mengharumkan nama pasukan.

''Mengenai minat yang ditunjukkan oleh beberapa pemain semenanjung untuk berhijrah ke Sarawak, Jalil menegaskan Bumi Kenyalang masih belum bersedia menggunakan khidmat mereka.

Katanya, walaupun pemain-pemain tersebut telah menghubunginya dan membincangkan perkara itu menerusi telefon, Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) merasakan pemain sedia ada sudah mencukupi dan mampu mengharungi cabaran Liga Perdana, Piala FA dan Piala Malaysia.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0119&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SsN3ap4r © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan