ARKIB : 17/11/1999
ABDUL Jalil Rambli tidak pernah
meletakkan sebarang harapan tinggi apabila dilantik oleh Persatuan Bola Sepak
Sarawak (FAS) sebagai jurulatih skuad Bujang Senang musim ini.
Sebaliknya, sasaran utama
jurulatih kelahiran Bintulu itu ialah untuk memastikan Sarawak kekal beraksi
dalam kelompok Divisyen Satu bagi cabaran liga tahun depan.
''Inilah tugas utama saya. Saya
akan berusaha sedaya upaya bagi menjayakan sasaran FAS di samping mengharapkan
sokongan padu daripada peminat dan penyokong setia Bujang Senang,'' demikian
komen pertama Jalil selepas menurunkan tanda tangan pada majlis pelantikan
rasminya sebagai jurulatih Sarawak di Tinggian Demak, Petra Jaya, 23 Januari
lalu.
Bagaimanapun, selepas
berhempas-pulas bertarung dalam kancah saingan liga, Jalil telah membuktikan
sentuhan 'berbisa' apabila berjaya membawa Sarawak melayakkan diri ke peringkat
separuh akhir Piala Malaysia musim ini.
Kejayaan tersebut mencerminkan
kesungguhan sebenar Jalil, bekas ketua pasukan dan pemain Sarawak dalam
mengembalikan reputasi Bujang Senang sebagai antara pasukan yang terbaik dan
disegani di negara ini.
Kejayaan itu juga tidak akan
dapat dituai tanpa komitmen yang jitu daripada seluruh pemain dan penyokong
setia Bujang Senang.
Sarawak akan bertemu juara
Piala Malaysia, Terengganu pada perlawanan pusingan pertama separuh akhir di
Kuala Terengganu pada 22 November ini sebelum menghadapi cabaran pusingan kedua
di gelanggang sendiri, 27 November.
''Kita akan membuat persiapan rapi
bagi menghadapi peringkat separuh akhir ini.
''Saya yakin pemain-pemain
Bujang Senang akan memberi persembahan yang terbaik berasaskan kepada semangat
perjuangan yang kental,'' katanya di Kuching, semalam.
Beliau berkata, baik Sarawak
dan Terengganu, setiap pasukan mempunyai matlamat untuk menang bagi mencerahkan
laluan ke peringkat akhir.
Sementara itu, Jalil berkata,
dia berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya ketika menentang skuad
Brunei di Bandar Seri Begawan tempoh hari.
Menurutnya, para pemain telah
menunjukkan semangat perjuangan yang tinggi meskipun pasukan lawan memberi
tentangan yang sengit.
Ini merupakan kali kelima
Sarawak berjaya mara ke separuh akhir Piala Malaysia selepas tahun 1988, 1993,
1995 dan 1996.
Bujang Senang tewas kepada
Kedah dengan agregat 1-2 pada 1988, 2-3 kepada Singapura (1993), 2-3 kepada
Selangor (1995) dan 0-3 kepada Sabah (1996).
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1117&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4Sdvf0700
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan