Ahad, 11 Disember 2016

Awang Mahyan yakin Bujang mara

 ARKIB : 04/11/1999
BEKAS jurulatih bola sepak Sarawak, Awang Mahyan Awang Mohamad yakin skuad Bujang Senang mampu melayakkan diri ke separuh akhir Piala Malaysia musim ini.

Katanya, berdasarkan prestasi yang ditunjukkan ketika ini, tidak ada sebab Bujang Senang pimpinan Abdul Jalil Rambli tidak boleh mara untuk merebut tempat sebagai empat pasukan terbaik.

''Yang penting, barisan pemain Sarawak perlu mengalahkan Brunei di gelanggang lawan pada perlawanan terakhir nanti selain mencipta kemenangan ke atas Pahang di tempat sendiri, Selasa ini.

''Ini kerana, peluang bagi setiap pasukan dalam kumpulan B khususnya Brunei, Pahang dan Sarawak untuk mara ke separuh akhir masih lagi terbuka,'' ujarnya ketika ditemui di Kuching, semalam.

Beliau berkata, Sarawak telah menunjukkan permainan yang cemerlang sepanjang musim ini terutama dengan kehadiran ramai pemain pelapis yang berpotensi.

Menurutnya, barisan pemain muda seperti Safri Amit, Effandi Sugandi, Gilbert Gawing, Johnny Joseph dan Jeffery Lana merupakan antara pemain-pemain yang perlu digilap dan diberi pendedahan yang lebih luas lagi.

''Saya yakin mereka ini boleh disandarkan untuk mengharumkan nama Sarawak dalam tempoh dua tahun lagi,'' ujarnya.

Awang Mahyan yang mencetuskan semangat 'Ngap Sayot' sewaktu memimpin Sarawak pada 1988 dan 1989 juga tidak menafikan kecemerlangan Jalil.

Menurutnya, Jalil telah berjaya memainkan peranannya yang cukup baik sehingga mampu meletakkan Sarawak pada kedudukannya sekarang.

''Saya gembira dengan pencapaian Bujang Senang yang dibimbing sendiri oleh anak tempatan,'' katanya.

Sementara itu, Awang Mahyan turut berasa lega dengan kejayaan Bujang Senang membawa pulang satu mata apabila menentang Kuala Lumpur di tempat lawan, semalam.

Menurutnya, sekurang-kuragnya tambahan satu mata itu akan memperkuatkan lagi peluang Sarawak untuk mara ke separuh akhir musim ini.

Sementara itu, skuad Bujang Senang akan melawat 13 penyokong setia pasukan itu yang cedera akibat kemalangan jalan raya di Sri Aman baru-baru ini, tengah hari ini.

Lawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) itu dijadual akan turut disertai oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Mohd. Taha Ariffin

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1104&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4SadGeCWd © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan