Sabtu, 3 Disember 2016

Kunci pergerakan Harimau

ARKIB : 29/05/1999
SARAWAK berazam mahu mengekang pergerakan setiap pemain Pulau Pinang pada saingan kedua bola sepak Liga Perdana di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam ini.

Tumpuan untuk mengunci seseorang pemain saja khususnya penyerang berbisa, Azman Adnan hanya akan mengundang padah memandangkan pemain-pemain lain dalam pasukan lawan itu turut berpotensi merakamkan jaringan.

Inilah pendekatan yang bakal diambil dan diterjemahkan oleh jurulatih skuad Bujang Senang, Abdul Jalil Rambli apabila melayan cabaran 'Harimau Kumbang' di gelanggang sendiri.

''Kita tidak mahu menumpukan perhatian kepada seseorang pemain terutama Adnan yang diketahui amat berbahaya jika dibiarkan berseorangan tanpa kawalan.

''Sebaliknya, pergerakan setiap pemain lawan akan cuba dikekang agar pergerakan mereka terbatas,'' ujarnya kepada Sukan Utusan di Kuching, semalam.

Beliau berkata, Sarawak akan turun dengan penuh azam untuk mengaibkan juara liga musim lalu itu. Kejayaan 1-0 ke atas Kuala Lumpur pada Piala FA tempoh hari turut menyemarakkan lagi semangat pemain untuk melebarkan kemenangan.

Ketua pasukan, Mohd. Ali Sapiee yang mengalami kecederaan sewaktu menentang Kuala Lumpur belum pasti diturunkan.

Mengenai kekuatan Pulau Mutiara, Jalil berkata, pasukan itu semakin meningkat tetapi Sarawak tidak berasa gentar untuk menghadapi mereka.

Menurutnya, berbekalkan latihan intensif dan sokongan moral penonton tempatan, Bujang Senang mampu menjinakkan Harimau Kumbang.

Pada perlawanan pertama di Stadium Bandaraya, 3 April lalu, Sarawak menumpaskan Pulau Pinang 5-3 menerusi sepakan penalti selepas terikat tanpa jaringan dalam 90 minit permainan.

Sarawak menduduki anak tangga ketujuh dengan mengumpul 18 mata hasil daripada tiga kemenangan, lima seri dan kalah lima kali.

Sementara Pulau Pinang mengungguli tangga kedua carta liga di belakang Pahang dengan 24 mata hasil daripada enam kemenangan, empat seri dan tewas tiga kali.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0529&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RmXhCSet © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan