Jumaat, 9 Disember 2016

Bujang tunggu sondolan si Badak

ARKIB : 24/09/1999
BARISAN pemain Bujang Senang kini sudah bersedia untuk memulakan cabaran menentang Sabah pada pusingan pertama kumpulan B kempen Piala Malaysia 1999 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam esok, lapor ANUAR ARIFFIN.

Bagi menghadapi pentas kejohanan berprestij itu, skuad pimpinan jurulatih tempatan, Abdul Jalil Rambli sudah pun menjalani latihan intensif sejak beberapa minggu lalu.

Ini termasuk mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab-kelab tersohor di Bumi Kenyalang seperti Landas dan Ibraco FC selain pilihan Johor dan Geylang FC dari Singapura.

Jelas sekali, kecergasan dan prestasi para pemain Sarawak terutama pemain-pemain mudanya seperti Safri Amit, Jeffry Lana, Roziman Rambli dan Samsul Napiah semakin menunjukkan peningkatan.

Malah, beberapa kelemahan yang sering menghantui skuad Bumi Kenyalang khususnya jentera serangan telah dapat diperbaiki.

Namun begitu, Jalil berkata, masih ada ruang yang perlu diperbaiki oleh pemain-pemain Sarawak bagi memantapkan lagi 'libasan' Bujang Senang terutama di barisan pertahanan, tengah dan sayap.

Katanya, anak-anak buahnya kini bersemangat dan sudah bersedia untuk menghadapi sondolan 'Sang Badak' di gelanggang sendiri malam esok.

''Saya yakin pertembungan kedua-dua pasukan dari Kepulauan Borneo ini pasti hebat dan menarik.

''Kemenangan pasti menjadi matlamat Bujang Senang dan kita tidak akan memandang ringan terhadap keupayaan pasukan lawan,'' ujarnya di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, berdasarkan latihan gigih para pemain, Bujang Senang mampu mempamerkan persembahan terbaik.

Katanya, beraksi di hadapan penyokong sendiri, Sarawak akan berjuang memburu kemenangan pertama.

''Kita tidak meletakkan sasaran tinggi pada kempen Piala Malaysia. Matlamat Sarawak mengekalkan kedudukan dalam Divisyen Satu tahun depan sudah tercapai,'' katanya

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0924&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4SLkXNz8v © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan