Selasa, 13 Disember 2016

Bujang tetap dapat insentif

ARKIB : 06/12/1999
KERAJAAN Sarawak akan tetap memberi insentif khas kepada skuad bola sepak negeri ini walaupun mereka gagal pada perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur, kelmarin, lapor ANUAR ARIFFIN.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Dr. George Chan Hong Nam berkata, insentif tersebut adalah sebagai menghargai kejayaan skuad Bujang Senang yang telah berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir kejohanan Piala Malaysia buat julung kalinya musim ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan, Kemudahan Awam dan Pembangunan Sosial Negeri berkata, bentuk insentif itu akan dibincangkan apabila pasukan Bujang Senang pimpinan jurulatih, Abdul Jalil Rambli kembali ke Sarawak, hari ini.

''Apa pun, para pemain Sarawak telah menunjukkan satu permainan yang penuh bersemangat dan berusaha sedaya upaya untuk memenangi gelaran juara Piala Malaysia.

''Kita kalah kali ini tetapi kita mesti mencuba lagi tahun depan,'' ujarnya ketika diminta mengulas kekalahan Sarawak 1-2 kepada Brunei pada perlawanan akhir tersebut.

Dr. Chan ditemui selepas menyambut kepulangan Yang Dipertua Negeri, Tun Ahmad Zaidi Adruce Mohammed Noor dari Kuala Lumpur selepas menjalani rawatan dan bercuti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) semalam.

Menurutnya lagi, para pemain Bujang Senang tidak seharusnya berasa malu di atas kekalahan tersebut.

Ini kerana, katanya, mereka tewas dalam keadaan di mana mereka telah menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi.

''Ada ketikanya kita menang, ada waktunya kita kecundang dalam sesuatu pertandingan,'' ujarnya.

Sementara itu, Dr. Chan akan menghadiri majlis sambutan kejayaan pasukan bola sepak Sarawak muncul naib juara Piala Malaysia musim ini di Padang Merdeka, di Kuching, petang ini.

Pada sebelah malamnya pula, Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud akan menghadiri majlis kesyukuran meraikan kejayaan skuad bola sepak Sarawak memasuki perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Perpaduan, Petra Jaya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=1206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4SiYPrkgA © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan