Rabu, 30 November 2016

Bujang hati-hati lawan Rusa

ARKIB : 15/04/1999
KEKALAHAN pertama yang dialami musim ini mendorong skuad Sarawak lebih berhati-hati apabila berdepan musuhnya Negeri Sembilan pada cabaran Liga Perdana Satu di Stadium Sarawak, Petra Jaya, Sabtu ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Biarpun pasrah dengan keputusan tersebut, namun pasukan yang bergelar Bujang Senang itu tetap berazam untuk tidak membiarkan gawangnya dirobek sesuka hati seperti mana yang dilakukan oleh pemain-pemain Kedah di Stadium Darul Aman tempoh hari.

Sesuai dengan kedatangan Maal Hijrah 1420 pada 17 April ini, Sarawak mahu menjadikan hari permulaan dalam kalendar Islam itu sebagai pencetus semangat untuk beraksi lebih konsisten dan penuh keyakinan diri.

Justeru, kekalahan 0-4 kepada skuad Kenari mengundang banyak pengajaran berguna kepada barisan pemain Bumi Kenyalang untuk meningkatkan lagi daya juang dan memperkukuhkan jentera pasukan.

Kelemahan di barisan hadapan perlu diperbaiki bagi membolehkan tindakan penyudah dapat dilakukan dengan berkesan. Begitu juga barisan pertahanan yang kelihatan agak longgar.

Jurulatih Bujang Senang, Abdul Jalil Rambli tidak menolak hakikat tersebut dan berkata, dia kini sedang berusaha gigih untuk mengatasi kelemahan itu.

Menurutnya, tempoh dua hari menjelang pertemuan dengan skuad Rusa akan dimanfaatkan sebaik mungkin untuk menangani masalah tersebut.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0415&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4RUGzk5kP © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 29 November 2016

Sarawak mahu 'rantai' Azman

ARKIB : 03/04/1999
PENDAHULU liga, Sarawak berazam menjadikan Pulau Pinang korbannya yang kedua dalam perlawanan masa sebenar pada cabaran liga bola sepak Perdana Satu di Stadium Bandaraya, malam ini.

Selepas membenam juara Piala Malaysia, Perak 3-0 di gelanggang sendiri, Selasa lalu, tidak ada sebab kecemerlangan itu tidak boleh diulangi lagi.

Kejayaan yang dilakar di Stadium Sarawak itu menjadi pembakar semangat kepada para pemain untuk meneruskan agenda mencipta kemenangan mutlak dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Dalam dua perlawanan sebelumnya, Sarawak menang melalui sepakan penalti dengan mengalahkan Pahang 4-3 dan Kuala Lumpur 5-4 selepas seri dalam permainan 90 minit.

Jurulatih, Abdul Jalil Rambli mahu anak-anak didiknya berjuang bersungguh-sungguh untuk memburu kejayaan pada pertemuan malam ini.

''Kami akan berusaha merakamkan kemenangan sulung dalam tempoh perlawanan sebenar di gelanggang lawan musim ini,'' katanya.

Menurutnya, matlamat tersebut sememangnya mengundang cabaran dan laluan berliku, tetapi yakin anak-anak buahnya mampu mengotakannya.

Beliau berkata, skuad Harimau Kumbang bukan mudah dijinakkan apatah lagi dengan kehadiran ramai pemain berwibawa terutama penyerang sensasinya, Azman Adnan.

''Jika Sarawak dapat mengekalkan corak permainan ketika mengalahkan Perak tempoh hari, barangkali kemenangan boleh berpihak kepada kita,'' katanya di Kuching sebelum berlepas ke Pulau Pinang, semalam.

Jalil mengakui pencapaian Pulau Pinang amat menggalakkan terutama sentuhan-sentuhan Azman yang kerap membawa padah kepada pelawat.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak akan menugaskan pemain tertentu merantai pergerakan Azman daripada bebas mencari ruang menjaringkan gol.

Menurut Jalil, beberapa pemainnya seperti Bobby Chua, Zaidel Sakup dan Ramos Sari cedera, tetapi ia tidak membimbangkan.

''Pertembungan Sarawak-Pulau Pinang yang merupakan dua pasukan teratas dalam carta liga ketika ini sudah pasti hebat dan menarik,'' ujarnya.

Bujang Senang dan Harimau Kumbang masing-masing mengumpul tujuh mata, tetapi Sarawak merajai kedudukan berdasarkan perbezaan jaringan.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0403&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4RPZyvvAW © Utusan Melayu (M) Bhd

Jalil kian yakin harungi cabaran liga

ARKIB : 01/04/1999
KEMENANGAN Sarawak 3-0 ke atas Perak, kelmarin bukan hanya memberi keyakinan kepada pemain Bujang Senang, tetapi ia juga memberi keyakinan kepada jurulatihnya, Jalil Ramli untuk mengharungi cabaran Liga Perdana, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.

Setelah mengharungi 206 minit kancah bola sepak Liga Perdana, Sarawak akhirnya memperoleh gol sulung yang dicari-cari selama ini menerusi tandukan Bobby Pian.

Gol tersebut membolehkan beberapa serangan dilakukan pada perlawanan yang rata-rata dikuasai oleh anak buah Jalil sehingga menambah dua jaringan lagi menerusi ketua pasukannya, Mohd. Ali Sapiee pada minit ke-28 dan 65.

Bagi pemain muda yang berada atas padang ketika itu, mereka mula berani bertindak.

Ini terbukti apabila Jeffry Lana melakukan percubaan dari sudut yang sukar pada minit ke-51, namun nasib tidak menyebelahinya apabila rembatan itu terkena palang gol.

Bagi Jalil pula, dia mula membuat percaturan memasukkan dua pemain mudanya, Abang Md Zaafari Othman dan Efandi Sugandi untuk beraksi selama 25 minit yang sungguh berharga itu.

Kedua-dua pemain itu menggantikan pemain berpengalaman Ibrahim Mantali dan Ramos Sari.

Secara keseluruhannya, kesungguhan pemain Sarawak kelmarin menyaksikan jurulatih itu kembali menguntum senyuman sambil berkata: ''Mereka bekerja keras pada perlawanan malam ini dan ia berbaloi (dengan mencipta kemenangan).''

Menurutnya, kemenangan itu sekali gus membuktikan Sarawak mampu memberi cabaran kepada pasukan lain walaupun menurunkan pemain muda yang kurang berpengalaman.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4RPNZe6HU © Utusan Melayu (M) Bhd

Rabu, 16 November 2016

Sarawak sedar kelemahan

ARKIB : 18/03/1999
SARAWAK akan memperbaiki segera kelemahan yang ada sebelum memulakan cabaran menentang Pahang pada perlawanan pertama Liga Malaysia Divisyen Satu di Stadium Sarawak, Sabtu ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Jurulatihnya, Abdul Jalil Rambli berkata, masih terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan bimbingannya yang perlu diatasi secepat mungkin sebelum persaingan bermula.

Katanya, antara posisi yang perlu diberi perhatian ialah di bahagian serangan.

Menurutnya, berdasarkan persembahan Sarawak dalam dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Negeri Sembilan tempoh hari, nyata sekali bahagian serangan Bujang Senang kelihatan agak tumpul.

''Jadi, kita mahu jentera di bahagian serangan dipertajamkan kerana ia amat penting dalam penghasilan gol oleh sesebuah pasukan.

''Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain seperti pertahanan dan tengah, ia perlu diperkemaskan lagi,'' katanya di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, dia akan memanfaatkan tempoh dua hari sebelum kempen Liga Malaysia bermula untuk mengatasi kelemahan itu sebaik mungkin.

Pada keseluruhannya, katanya, dia berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang semakin menunjukkan peningkatan dalam permainan.

''Mereka telah menunjukkan persefahaman yang baik dan melancarkan gerakan dengan begitu meyakinkan,'' ujarnya.

Pada perlawanan persahabatan yang diadakan di Pulapol dan Seremban baru-baru ini, Sarawak seri tanpa jaringan dengan ATM dan tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan.

Jalil berkata, sekiranya para pemain dapat mengekalkan corak permainan, tidak ada sebab mengapa Sarawak tidak boleh memberi cabaran sengit kepada pasukan lawan nanti.

Sementara itu, beliau gembira kerana pemain-pemain baru semakin menunjukkan keyakinan dan persembahan yang menggalakkan.

''Umpamanya di bahagian serangan, saya telah menggandingkan antara Ramles Sari dan Safri Amit, Ramles dan Fadly Kassim dan Bobby Pian dan Safri.

''Di posisi pertahanan pula, saya mencuba gandingan antara Zaidel Sakup dan Samsul Napiah,''ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4QAjfHXzy © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, 15 November 2016

Sarawak kesejukan

ARKIB : 07/03/1999
MASALAH sejuk yang bukan kepalang menjadi faktor utama mengapa skuad Sarawak terpaksa tunduk kepada kelab Kashima Antlers pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Kejohanan Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Jepun, Rabu lalu.

Jurulatih Bujang Senang, Abdul Jalil Rambli berkata, para pemain tidak dapat berbuat apa-apa malah gagal melakukan aksi-aksi hebat berikutan suhu di Negara Matahari Terbit itu mencecah sehingga tiga darjah celsius.

Katanya, biarpun barisan pemain terpaksa memakai dua hingga tiga lapis baju namun kesejukan begitu amat terasa sekali.

''Jika tidak kerana cuaca yang begitu sejuk, kekalahan Sarawak tidaklah sebegitu besar sehingga 0-10.

''Para pemain telah menunjukkan permainan yang biasa pada babak pertama perlawanan, tetapi mereka mula hilang rentak pada pertarungan babak kedua,'' katanya di Kuching, semalam.

Mengulas lanjut perlawanan di Stadium J-Village, salah sebuah gelanggang canggih bagi Kejohanan Piala Dunia 2002, Jalil berkata, anak-anak buahnya telah memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan gol.

Bagaimanapun, ujarnya, segala kesempatan tersebut tidak membuahkan sebarang hasil.

Kata Jalil, biarpun ditentang oleh pasukan ternama dalam Liga-J, namun semangat juang para pemain begitu tinggi sekali.

Beliau memberitahu, tiga muka baru iaitu Mohd. Fadly Kassim, Abang Mohd. Zafari dan Jeffery Lana telah diturunkan pada perlawanan tersebut.

''Mereka telah bekerja keras untuk membuktikan kewibawaan masing-masing. Tetapi, dalam keadaan cuaca yang sejuk, pergerakan mereka tidak begitu lancar,'' ujarnya.

Sementara itu, Jalil berkata, skuad Bujang Senang akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur pada 12 Mac ini dan Negeri Sembilan di Seremban, dua hari kemudian.

Menurutnya, perlawanan tersebut adalah sebahagian daripada persiapan juara Liga 1997 itu untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia yang akan bermula beberapa minggu lagi.

Bekas Juara Sumbangsih tahun lalu itu akan menentang skuad Tok Gajah, Pahang pada perlawanan pembukaan Liga Malaysia Divisyen Satu di Stadium Sarawak, 20 Mac ini.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q5RyZesG © Utusan Melayu (M) Bhd

Sarawak dibelasah teruk

ARKIB : 05/03/1999
MEMANG mengaibkan, tetapi itulah hakikat yang harus diterima oleh Sarawak yang dibelasah 10 gol tanpa balas ketika menentang kelab profesional Jepun, Kashima Antlers pada suku akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Stadium J-Village, Naraha Jepun, kelmarin.

Kekalahan itu bagaikan merentap semangat juang Sarawak, beberapa minggu sebelum bermulanya persaingan Liga Perdana apatah lagi selepas berjaya mengekang juara Jepun daripaada mencatat kemenangan besar di Kuching, seminggu sebelum itu. Kashima menang 4-2 pada pertemuan pertama itu.

Namun di sebalik kekalahan kelmarin, Sarawak seharusnya mengambil iktibar bahawa ia bukanlah bermakna segala-galanya sudah berakhir.

Sarawak kini perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Tugas berat itu menjadi tanggungjawab Abdul Jalil Rambli, yang baru beberapa hari menyandang jawatan jurulatih.

Para pemain pasukan bergelar Bujang Senang ini harus segera melupakan 'malapetaka' di Naraha sebelum memulakan cabaran menentang Pahang dalam Liga Malaysia, 20 Mac ini.

Biarpun menanggung malu yang bukan kepalang para pemain Sarawak tidak seharusnya cepat mengalah dan berputus asa.

Hakikatnya, mereka telah berjaya memberi persaingan hebat dan mampu menyaingi pasukan lawan yang dianggap gergasi walaupun baru dibentuk lebih sebulan yang lalu.

Malah, Sarawak merupakan pasukan pertama yang layak mara ke peringkat suku akhir dalam pentas kejohanan Juara Antara Juara Asia.

Faktor cuaca sejuk yang mencapai sehingga lima darjah celsius mungkin merupakan antara penyebab utama mengapa barisan pemain Bumi Kenyalang gagal mengulangi persembahan cemerlang seperti yang ditunjukkan pada suku akhir pertama di Stadium Sarawak, 20 Februari lalu.

Pada saingan di hadapan penonton sendiri, meskipun tewas 2-4, tetapi Sarawak telah berjaya memberi cabaran getir kepada pasukan lawan yang menampilkan tiga pemain ternama dari Brazil selain beberapa pemain Piala Dunia 1998 Jepun.

Bagaimanapun, hasrat Bujang Senang untuk menebus kekalahan tersebut di gelanggang lawan tidak kesampaian, malah terpaksa menerima hakikat bahawa pintu gol mereka dibolosi dengan 10 jaringan dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Tomoyuki Hirase muncul wira apabila menjaringkan empat gol iaitu seawal minit pertama, 42, 87 dan 89.

Rakannya, Yoshiyuki Hasegawa turut mencipta nama dengan tiga jaringan minit ke-36, 41 dan 53, Masashi Motoyama, dua gol (69, 79) dan Mitsuo Ogasawara (62).

Sehubungan itu, pemain-pemain Sarawak harus melupakan segera kekalahan yang dialami dan merangka haluan baru bagi menghadapi cabaran Liga-M tidak lama lagi.

Mungkin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik kekalahan tersebut yang berkehendakkan setiap pemain perlu melipatgandakan usaha bagi membentuk skuad yang lebih jitu dan berwibawa.

Sementara itu, pegawai-pegawai Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai keputusan tersebut.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q4o1xFXC © Utusan Melayu (M) Bhd

Semangat 'Ngap Sayot' bawa Bujang ke Tokyo

ARKIB : 03/03/1999
SARAWAK dijangka akan menampilkan gandingan Ramles Sari dan Mohd. Safri Amit pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 menentang kelab Kashima Antlers di Tokyo, Jepun, hari ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Walaupun kemantapan gandingan itu belum diuji namun jurulatih, Abdul Jalil Rambli mempunyai percaturan berani untuk mencuba kombinasi kedua-dua pemain tersebut di barisan hadapan.

Menurut Jalil, dia mahu mencuba meletakkan Ramles, 30, dan Safri, 20, di bahagian serangan berdasarkan kedua-duanya memiliki ciri-ciri pemain penyerang yang dikehendaki dan mempunyai larian yang pantas.

Kecemerlangan Safri, bintang baru kelahiran Sarikei, terserlah apabila dia menjaringkan gol kedua Sarawak pada perlawanan pertama tempoh hari melalui satu gerakan solo selepas babak kedua perlawanan disambung semula.

Pada perlawanan pertama di Stadium Sarawak, 20 Februari lalu, posisi di bahagian serangan disandarkan kepada Safri dan Bobby Pian.

Malah Jalil sendiri mengakui gandingan kedua-dua pemain itu (Bobby dan Safri) begitu secocok dan berkesan dalam tugas menggempur benteng pertahanan lawan.

''Walaupun gandingan Bobby - Safri telah membuktikan kemampuan mereka, tetapi saya mahu cuba meletakkan Safri berganding dengan Ramles,'' katanya sebelum berlepas ke Jepun, awal pagi semalam.

Jalil berkata, tidak ada perubahan yang berlaku ke atas skuad Bujang Senang kecuali tempat Bobby Chua yang dilayangkan kad merah akan diisi oleh Ramles.

Beliau berkata, walaupun menghadapi tugas rumit termasuk keadaan cuaca yang sejuk tetapi para pemain akan tetap bersemangat untuk persembahan yang terbaik.

Menurut Jalil, meskipun pasukan lawan membariskan pemain-pemain ternama dan Sarawak tumpas 2-4 pada perlawanan pertama tetapi semangat juang 'Ngap Sayot' terus membara.

Kashima Antlers yang beraksi dalam Liga-J bukan calang pasukan yang boleh ditundukkan apatah lagi mereka mempunyai khidmat 'trio' Brazil iaitu Bismarck Barreto, Walemar Aureliano dan Ricardo Cavalcante.

Selain itu, pasukan bimbingan bintang Piala Dunia Brazil, Zico turut membariskan pemain-pemain Piala Dunia 1998 Jepun seperti Akira Narahashi, Yutaka Akita dan Naoki Soma.

Pada perlawanan pertama, empat gol Kashima Antlers dijaringkan oleh Yutaka Akita (m42, m49), Naruyuki Naito (m60) dan Toshiyuki Abe (m80). Sementara dua jaringan Sarawak menerusi Nazri Yunos (m12) dan Safri Amit (m46).

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0303&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4Q4ZvpXD5 © Utusan Melayu (M) Bhd

Ahad, 13 November 2016

Perlawanan kedua di Tokyo 3 Mac -- Sarawak tetap berkeyakinan

ARKIB : 01/03/1999
JURULATIH Sarawak, Abdul Jalil Rambli tetap berkeyakinan anak-anak buahnya mampu memberi cabaran sengit kepada Kashima Antlers pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Tokyo, 3 Mac ini.

Katanya, walaupun cuaca sejuk menjadi penghalang besar namun ia tidak akan melunturkan semangat juang para pemain untuk memberi persembahan bertenaga dan seterusnya mencipta kejutan.

''Kita tidak gentar lagi untuk berhadapan dengan skuad Kashima Antlers yang membariskan ramai pemain berwibawa.

''Berdasarkan kepada pertemuan pertama di Stadium Sarawak tempoh hari, para pemain sudah dapat mengetahui corak permainan mereka,'' katanya di Kuching, semalam.

Malah, Jalil berkata, para pemain kini begitu bersemangat untuk beraksi menentang Kashima Antlers di gelanggang lawan. Katanya, kekalahan 2-4 tempoh hari banyak memberi pengajaran kepada para pemain untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang ada.

''Saya menaruh keyakinan tinggi bahawa berdasarkan latihan intensif yang dijalani, skuad Bujang Senang mampu memberi tentangan hebat kepada Kashima Antlers.

''Cuma yang menjadi masalah sekarang ialah cuaca sejuk yang mencecah lima darjah Celsius,'' jelasnya.

Skuad Sarawak berlepas ke Jepul awal pagi ini dan akan menghadapi 'seterunya' pada Rabu ini.

Sementara itu, Jalil berkata, beliau masih lagi meneliti kecergasan dan prestasi pemain sebelum menyenaraikan kesebelasan pemain utama yang akan diturunkan di Tokyo nanti.

Menurutnya, Ramles Sari yang tidak diturunkan tempoh hari kerana digantung satu perlawanan kini sudah boleh bermain semula.

''Namun begitu, keadaan tersebut tidak semestinya Ramles boleh diturunkan. Pemain-pemain baru seperti Safri Amit juga telah menunjukkan prestasi cemerlang.

''Saya akan tentukan barisan pemain selepas mereka menjalani latihan terakhir di Tokyo sehari sebelum pertandingan bermula,'' katanya.

Pada keseluruhannya, Jalil berkata, beliau berpuas hati dengan tahap kecergasan dan semangat berpasukan yang ditunjukkan oleh pemain-pemain Bujang Senang.

''Kita harap dapat memberi persembahan yang terbaik di Jepun nanti,'' ujarnya.
Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0301&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PuCk3anW

© Utusan Melayu (M) Bhd

Sarawak semakin matang - Mohd. Taha

ARKIB : 23/02/1999
SARAWAK mampu menjadi antara pasukan yang bakal memberi cabaran hebat pada persaingan Divisyen Satu, Liga Malaysia musim ini yang akan membuka tirainya, 20 Mac depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Mohd. Taha Ariffin berkata, ini berdasarkan prestasi dan kecemerlangan pemain-pemain Bujang Senang ketika beraksi menentang skuad ternama dari Jepun, Kashima Antlers.

Katanya, walaupun kalah 2-4 tetapi pada asasnya, barisan pemain Bumi Kenyalang yang dibimbing oleh jurulatih tempatan, Abdul Jalil Rambli telah berjaya menunjukkan gaya dan mutu permainan yang berkualiti.

Menurutnya, penampilan sulung pemain-pemain baru seperti Mohd. Safri Amit dan Samsul Napiah menampakkan keyakinan tinggi dan membuktikan Sarawak tidak ketandusan pemain-pemain berkaliber.

''Berikan mereka masa dan jangan mengharapkan sesuatu yang cepat dan keterlaluan.

''Saya sudah ada melihat isyarat awal bahawa Sarawak mampu tercipta sebagai pasukan yang hebat,'' katanya di Kuching, semalam.

Taha berkata, sebelum perlawanan dimulakan, ramai yang beranggapan bahawa skuad Bujang Senang akan mudah dijinakkan oleh Kashima Antlers.

Tetapi sebaliknya, ujarnya, Sarawak telah berjaya memberi tentangan hebat dan dua kali mendahului pasukan lawan meskipun kesudahannya tidak menyebelahi mereka.

Sementara itu, Jalil berkata, walaupun kecundang beliau tetap berpuas hati dengan semangat dan daya juang yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.

''Kita memerlukan sedikit masa lagi untuk memperkemas dan memantapkan jentera pasukan. Saya anggap keputusan yang diperoleh adalah baik,'' katanya.

Selain itu, beliau turut gembira kerana persembahan Safri dan Samsul begitu menyakinkan walaupun kali pertama diturunkan dalam perlawanan peringkat antarabangsa.

''Mereka telah menunjukkan permainan yang baik walaupun pasukan lawan memiliki barisan pemain terbilang,'' ujarnya.

Jalil berkata, Ramles Sari tidak diturunkan pada perlawanan kelmarin kerana dia telah menerima dua kad kuning ketika menentang Myanmar tahun lalu.

Katanya, Ramles dijangka akan diturukan pada pusingan kedua di Narita, Jepun pada 3 Mac ini.

''Latihan akan diteruskan dan saya akan pastikan para pemain dapat memberi tentangan sengit pada perlawanan pusingan kedua nanti,'' jelasnya.

Sementara itu, ketua jurulatih Kashima Antlers, Jose Marrio De Almeida Barros memuji persembahan skuad Bujang Senang yang dianggapnya begitu berpotensi dan mencabar sekali.

Katanya, Sarawak menunjukkan corak permainan berpasukan yang tinggi dan memiliki pemain-pemain berpotensi seperti Ramos Sari dan Ali Sapiee.

''Sarawak perlu bersedia untuk menghadapi Kashima Antlers pada pusingan kedua kerana keadaan cuaca di Jepun kini begitu sejuk,'' ujarnya.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Ptsg0Lre © Utusan Melayu (M) Bhd

Sentuhan Rambli teruji

ARKIB : 20/02/1999
SENTUHAN jurulatih tempatan, Abdul Jalil Rambli akan teruji apabila pasukan Sarawak menentang kelab Kashima Antlers dari Jepun pada pusingan pertama suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam ini.

Ini merupakan perlawanan sulung bertaraf antarabangsa yang dilalui skuad Bujang Senang musim ini selepas mula dilatih oleh Jalil pada 23 Januari lalu.

Walaupun pertemuan ini tidak sehebat cabaran Liga Malaysia dan Piala Malaysia, tetapi ia begitu bermakna buat Jalil untuk melihat sejauh mana anak-anak buahnya mempraktikkan segala corak permainan yang diajar.

Sarawak yang ditabalkan sebagai juara Sumbangsih musim lalu, tetap berazam untuk memberi persembahan terbaik meskipun lawan yang akan dihadapi malam ini bukan calang-calang pasukan untuk disaingi.

Yang pasti, Bujang Senang tidak rela untuk diperkotak-katikkan oleh Kashima Antlers, malah akan berjuang memburu kemenangan bukan saja buat keceriaan penyokong tempatan, malah untuk rakyat Malaysia.

Sarawak merupakan pasukan pertama di negara ini yang berjaya melangkahkan kaki ke peringkat tertinggi iaitu suku akhir pada kejuaraan bola sepak kelab-kelab Asia.

Sebelum ini, pasukan Merah Kuning, Selangor turut beraksi dalam kejohanan yang sama, tetapi hanya mampu sehingga ke peringkat pusingan kedua saja.

Bagi Jalil, pasukan bimbingannya kini sudah bersedia untuk menghadapi cabaran pasukan lawan yang akan menyenaraikan beberapa pemain tersohor termasuk tiga pemain nasional dari Brazil.

Tiga pemain terkenal Brazil itu ialah Bismarck Barreto Faria (pernah bermain dalam Piala Dunia 1990 di Itali), Waldemar Aurello De Olivelra Filho dan Richardo Cavalcante Ribelro.

Selain itu, Kashima Antlers turut menampilkan tiga bintang bola sepaknya yang beraksi dalam Piala Dunia 1998 di Perancis iaitu Akira Narahashi, Yutaka Akita dan Naoki Soma.

Menurut Jalil, semangat dan prestasi para pemain begitu tinggi sekali dan mereka tidak sabar untuk mengharungi cabaran sebenar.

''Saya yakin para pemain mampu memberi persembahan terbaik malam ini walaupun pasukan lawan nyata lebih hebat.

''Berdasarkan latihan intensif yang dijalani sejak beberapa minggu lalu, para pemain akan dapat mempraktikkan segala yang dipelajari dengan baik dan berkesan'' katanya di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, perlawanan ini menjadi medan penting bagi skuad Bujang Senang memantapkan jentera pasukan sebelum memulakan saingan Liga Malaysia bulan depan.

Selain itu, katanya, ia akan memperlihatkan sejauh mana kecergasan dan komitmen para pemain sejak mula menjalani latihan pertengahan bulan lalu.

Jalil berkata, kesebelasan pemain utama Bujang Senang akan diketahui menjelang perlawanan akan dimulakan.

''Pada keseluruhannya, para pemain menunjukkan semangat tinggi dan persefahaman yang baik walaupun tidak seratus peratus. Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan,'' ujarnya.

Jalil berkata, keupayaan Sarawak sudah mula berputik apabila berjaya menewaskan dua kelab ternama di bandar raya ini iaitu Perumahan dan Ibraco FC, kedua-duanya dengan jaringan 3-0 pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Bujang Senang akan bertandang ke Jepun untuk mengharungi perlawanan pusingan kedua pada 3 Mac ini.

Oleh: ANUAR ARIFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PtavbqlT © Utusan Melayu (M) Bhd

Fadly sudah bersedia memikul cabaran liga

ARKIB : 19/02/1999
PEMAIN baru, Mohd. Fadly Kassim sudah bersedia untuk memikul cabaran sekiranya terpilih dalam kesebelasan utama skuad Sarawak dalam menghadapi persaingan bola sepak Divisyen Satu, Liga Malaysia musim ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Biarpun kedudukannya belum pasti dan masih dalam peringkat latihan, tetapi anak muda kelahiran Kampung Riam, Miri ini tetap bersemangat untuk membantu Bujang Senang memenangi salah satu kejuaraan tahun ini.

Fadly, 22, berkata, dia sedar persaingan untuk merebut tempat dalam pasukan utama adalah sengit dan mencabar.

Katanya, ini kerana masih lagi ramai pemain senior yang lebih berwibawa yang boleh disandarkan harapan bagi kejayaan Sarawak musim ini.

''Namun begitu, saya akan terus berusaha untuk menunjukkan prestasi terbaik dan persembahan yang menyakinkan jurulatih, Abdul Jalil Rambli untuk saya diserapkan dalam kesebelasan pemain utama.

''Jika peluang ini diberi kepada saya, saya akan berusaha menfaatkannya sebaik mungkin demi kecemerlangan skuad Bujang Senang,'' katanya kepada Sukan Utusan ketika ditemui selepas menjalani latihan di Stadium Negeri, Petra Jaya, semalam.

Ketrampilan Fadly kini sudah mula berbunga apabila dia menjaringkan salah satu gol daripada kemenangan pasukan Sarawak 3-0 ke atas kelab Ibraco FC pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Menurut Fadly, setakat ini dia sedang menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi pasukan Kashima Antlers dari Jepun dalam pusingan suku akhir pertama Kejohanan Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Stadium Sarawak, Sabtu ini.

Anak keempat dari lima beradik itu berkata, dia sedia menyambut cabaran sekiranya diturunkan pada pertemuan tersebut.

''Berbekalkan latihan yang dijalani dan pengalaman yang ada, saya yakin dapat menyumbang sesuatu untuk kejayaan Sarawak,'' jelasnya.

Sebelum ini, Fadly pernah mewakili Sarawak dalam pertandingan bola sepak Sukan Malaysia (Sukma) pada 1996 dan 1998, Piala Presiden (1996 dan 1998) dan Piala Sarawak (1996 dan 1998).

Mengenai latihan bersama pemain senior, Fadly berkata, dia tidak menghadapi sebarang masalah malah sentiasa mendapat bimbingan dan tunjuk ajar daripada mereka.

''Saya juga tidak mengalami kesukaran di bawah kendalian jurulatih, Jalil.

''Kita menjalani latihan dalam semangat berpasukan yang kental dan bersatu matlamat untuk membawa kecemerlangan bagi Bujang Senang,'' ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0219&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PtX5VqwM © Utusan Melayu (M) Bhd

Jalil minta penyokong Bujang Senang bersabar


 

ARKIB : 18/02/1999
Jalil minta penyokong Bujang Senang bersabar
ABDUL Jalil Rambli (dua dari kiri) memberi penerangan kepada para pemainnya sebelum perlawanan persahabatan menentang Kelab Ibraco di Kuching semalam. Sarawak menang 3-0. - Gambar AZMAN AHMAD.

JURULATIH Sarawak, Abdul Jalil Rambli tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan yang mahu beliau menghasilkan sesuatu kejayaan serta-merta bagi skuad Bujang Senang pada saingan Divisyen Satu Liga Malaysia musim ini.

Jurulatih berusia 38 tahun itu berkata, beliau memerlukan masa untuk berbuat demikian apatah lagi Sarawak kini dibarisi pemain lama dan baru yang perlu diadun dengan mantap dan berkesan.

Namun begitu, katanya, ini tidak bererti Sarawak tidak akan memberi cabaran sengit dalam sebarang kejohanan yang disertai terutama Liga Malaysia malah akan berusaha dengan sedaya upaya untuk memenangi setiap perlawanan.

Bekas pemain Bujang Senang itu tidak menafikan dia mula merasai tekanan khususnya di kalangan peminat dan penyokong setia Sarawak yang mahu beliau menelurkan sesuatu yang terbaik bagi skuad Bumi Kenyalang musim ini.

''Memanglah mereka (peminat dan penyokong) benar-benar mengharapkan kejayaan Sarawak apabila menentang pasukan lawan terutama apabila bertemu Kashima Antlers dari Jepun pada perlawanan Kelab-Kelab Asia di Stadium Sarawak, Sabtu ini.

''Harapan begini sememangnya menjadi lumrah di kalangan peminat dan penyokong setia tetapi saya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang tekanan,'' katanya di Kuching, semalam.

Jalil berkata, beliau yakin berdasarkan latihan yang konsisten dan ruang masa yang secukupnya bagi menggilap kecergasan pemain, Sarawak mampu menjadi pasukan yang handal pada masa depan.

Tegasnya, beliau perlu diberi masa untuk menyusun jentera pasukan dan mengenal-pasti pemain yang berwibawa untuk diletakkan di sesuatu posisi.

''Dalam hubungan ini, peminat dan penyokong Bujang Senang juga dikehendaki memberi sumbangan dalam bentuk sokongan moral kepada para pemain setiap kali mereka beraksi,'' katanya.

Sementara itu, Jalil berpuas hati dengan persembahan anak-anak buahnya apabila menewaskan kelab Ibraco FC 3-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negeri, Petra Jaya, petang semalam.

Gol-gol tersebut dijaringkan oleh Nazri Yunos, Ibrahim Mantali dan pemain baru, Mohd. Fadly Kassim.

Ini merupakan kejayaan kedua skuad bimbingan Jalil selepas mengalahkan kelab Perumahan dengan jaringan yang sama tiga hari lalu.

Menurut Jalil, walaupun mencipta kemenangan, tetapi para pemain perlu melipatgandakan lagi mutu persembahan.

''Barisan hadapan masih lagi perlu diperkemaskan dan begitu juga dengan bahagian lain. Pada keseluruhannya, saya berpuas hati dengan kesungguhan dan kecergasan para pemain,''ujarnya.

Mengenai pertemuannya dengan Kashima Antlers, beliau berkata, para pemain akan berusaha untuk memenangi perlawanan tersebut walaupun menyedari kehebatan pasukan lawan.

Katanya, pertemuan itu disifatkan sebagai medan 'pemanas badan' bagi para pemain sebelum turun menggalas cabaran sebenar pada Liga Malaysia.

''Namun begitu, kita akan tetap memberi cabaran sebaik mungkin dan yang pasti kemenangan dapat diperoleh,'' jelasnya.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PtSz5JRv © Utusan Melayu (M) Bhd