ARKIB : 23/02/1999
SARAWAK mampu menjadi antara
pasukan yang bakal memberi cabaran hebat pada persaingan Divisyen Satu, Liga
Malaysia musim ini yang akan membuka tirainya, 20 Mac depan.
Presiden Persatuan Bola Sepak
Sarawak (FAS), Datuk Mohd. Taha Ariffin berkata, ini berdasarkan prestasi dan
kecemerlangan pemain-pemain Bujang Senang ketika beraksi menentang skuad
ternama dari Jepun, Kashima Antlers.
Katanya, walaupun kalah 2-4
tetapi pada asasnya, barisan pemain Bumi Kenyalang yang dibimbing oleh
jurulatih tempatan, Abdul Jalil Rambli telah berjaya menunjukkan gaya dan mutu
permainan yang berkualiti.
Menurutnya, penampilan sulung
pemain-pemain baru seperti Mohd. Safri Amit dan Samsul Napiah menampakkan
keyakinan tinggi dan membuktikan Sarawak tidak ketandusan pemain-pemain
berkaliber.
''Berikan mereka masa dan
jangan mengharapkan sesuatu yang cepat dan keterlaluan.
''Saya sudah ada melihat
isyarat awal bahawa Sarawak mampu tercipta sebagai pasukan yang hebat,''
katanya di Kuching, semalam.
Taha berkata, sebelum perlawanan
dimulakan, ramai yang beranggapan bahawa skuad Bujang Senang akan mudah
dijinakkan oleh Kashima Antlers.
Tetapi sebaliknya, ujarnya,
Sarawak telah berjaya memberi tentangan hebat dan dua kali mendahului pasukan
lawan meskipun kesudahannya tidak menyebelahi mereka.
Sementara itu, Jalil berkata,
walaupun kecundang beliau tetap berpuas hati dengan semangat dan daya juang
yang dipamerkan oleh anak-anak buahnya.
''Kita memerlukan sedikit masa
lagi untuk memperkemas dan memantapkan jentera pasukan. Saya anggap keputusan
yang diperoleh adalah baik,'' katanya.
Selain itu, beliau turut
gembira kerana persembahan Safri dan Samsul begitu menyakinkan walaupun kali
pertama diturunkan dalam perlawanan peringkat antarabangsa.
''Mereka telah menunjukkan
permainan yang baik walaupun pasukan lawan memiliki barisan pemain terbilang,''
ujarnya.
Jalil berkata, Ramles Sari
tidak diturunkan pada perlawanan kelmarin kerana dia telah menerima dua kad
kuning ketika menentang Myanmar tahun lalu.
Katanya, Ramles dijangka akan diturukan
pada pusingan kedua di Narita, Jepun pada 3 Mac ini.
''Latihan akan diteruskan dan
saya akan pastikan para pemain dapat memberi tentangan sengit pada perlawanan
pusingan kedua nanti,'' jelasnya.
Sementara itu, ketua jurulatih
Kashima Antlers, Jose Marrio De Almeida Barros memuji persembahan skuad Bujang
Senang yang dianggapnya begitu berpotensi dan mencabar sekali.
Katanya, Sarawak menunjukkan
corak permainan berpasukan yang tinggi dan memiliki pemain-pemain berpotensi
seperti Ramos Sari dan Ali Sapiee.
''Sarawak perlu bersedia untuk
menghadapi Kashima Antlers pada pusingan kedua kerana keadaan cuaca di Jepun
kini begitu sejuk,'' ujarnya.
Oleh: ANUAR ARIFFIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0223&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4Ptsg0Lre
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan