Selasa, 1 November 2016

Piala Juara-Juara Asia: Sarawak mara pusingan ke-dua

ARKIB : 04/10/1998
SARAWAK melangkah bergaya ke pusingan kedua bola sepak Piala Juara-Juara Asia apabila berjaya menumpaskan Kastam Vietnam 3-1 pada perlawanan kedua pusingan pertama di Stadium Sarawak, Petra Jaya, semalam.

Kemenangan itu sekali gus memihak kepada pasukan tuan rumah dengan kedudukan agregat 5-2 selepas Sarawak menang 2-1 pada perlawanan pertama di Bandar Raya Ho Chi Minh sebelum ini.

Gol-gol kemenangan Sarawak diperoleh menerusi jaringan Mohd. Ali Sapiee seawal minit keempat, Alistair Edwards (m31) dan Dahlan Matussin (m39).

Manakala Dinh Thanh Hai pula menjaringkan gol sagu hati bagi pasukan pelawat pada minit kelapan.

Pada pusingan pertama di Bandar Raya Ho Chi Minh, Bujang Senang berjaya menundukkan Kastam Vietnam 2-1 hasil jaringan Mohd. Ali dan Alistair.

Disaksikan kira-kira 3,000 penonton, kedua-dua pasukan menyajikan rentak permainan yang bersemangat dan saling melakukan serangan balas untuk mendapatkan gol.

Kastam Vietnam lebih awal menguji penjaga gol Sarawak, Mazlan Wahed tetapi rembatan Nguyen Chi My melewati sasaran.

Bagaimanapun Bujang Senang menemui sasaran lebih awal apabila tandukan Ali hasil tendangan sudut dari William Bone gagal ditampan penjaga gol lawan, Nguyen Duc Duy.

Sarawak terus menggandakan asakan dan percubaan Ali dan Bone pada minit ke-12 dan 13 gagal menambah koleksi jaringan.

Begitu juga peluang yang diperoleh Ramos Sari dan Alistair minit ke-23 dan 27 sekadar menyaksikan percubaan mereka berjaya ditepis keluar.

Pada separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus melakukan serangan balas tetapi gagal menambah sebarang jaringan sehingga wisel penamat ditiupkan oleh pengadil, Surdi Ismail dari Singapura.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1004&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4OkhF2ssx © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan