ARKIB : 02/02/1999
SEMINGGU selepas mula memimpin
pasukan Bujang Senang, Abdul Jalil Rambli kini mula mencatur strategi dengan
membawa skuadnya mengadakan beberapa perlawanan ujian dengan kelab-kelab
ternama, lapor ANUAR ARIFFIN./
Sebagai permulaan, Jalil
bercadang memilih pasukan Johor dan Geylang FC dari Singapura sebagai
gelanggang ujian kepada pasukan yang baru dibentuknya minggu depan.
Bagi bekas jurulatih pasukan
Bumi Kenyalang itu, pemilihan dua pasukan tersebut penting kerana ia mempunyai
ramai pemain berkebolehan selain dipimpin oleh jurulatih ternama dan sudah
menempa kejayaan cemerlang musim lalu.
Skuad Johor atau Jengking yang
dibimbing jurulatih Steve Darby muncul juara Piala FA tahun lalu sementara
Geylang FC, salah sebuah pasukan yang disegani di Kota Singa kini dibimbing
oleh bekas jurulatih Sarawak, Alan Vest.
Jalil berkata, perlawanan ujian
dengan kedua-dua pasukan itu adalah sebagai pendedahan awal kepada barisan
pemain sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia 1999 tidak lama lagi.
Katanya, apa yang penting
perlawanan tersebut merupakan landasan bagi para pemain untuk meningkatkan
kecergasan diri sebagai persediaan mengharungi cabaran peringkat suku akhir
Kejohanan Piala Juara Antara Juara Asia kali ke-9 bulan ini.
Sarawak akan berdepan dengan
kelab elit dari Jepun, Kashima Atlers pada pusingan pertama di Stadium Sarawak,
20 Februari ini dan pusingan kedua di tempat lawan pada bulan depan.
''Sebagai pemain-pemain muda,
saya berharap para pemain akan dapat manfaatkan kedua-dua perlawanan ujian ini
bagi menimba sebanyak mungkin pengalaman dan meningkatkan corak persembahan.
''Saya yakin dengan pendekatan
seperti ini, para pemain akan dapat didedahkan dengan pelbagai teknik dan
strategi permainan,'' katanya di Kuching, semalam.
Menurut Jalil, dia akan
menjadikan perlawanan ujian itu sebagai asas untuk membentuk skuad Sarawak yang
benar-benar mantap dan berwibawa bagi mengharungi cabaran Liga Malaysia musim
ini.
''Menang atau kalah bukan
menjadi matlamat. Yang penting saya mahu melihat sejauh mana pemain-pemain
dapat menyesuaikan diri ketika berada dalam sesuatu perlawanan selain menimba
pengalaman,'' ujarnya.
Mengenai latihan yang diadakan
sejak seminggu lalu, Jalil berkata, beliau mengakui kecergasan anak-anak
buahnya semakin meningkat dan mereka menunjukkan semangat yang tinggi.
Katanya, pemain-pemain baru
yang diserapkan dalam skuad Kenyalang musim ini juga sudah menunjukkan
keserasian dengan pemain-pemain lama. ''Inilah yang saya mahukan.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0202&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Ps2U2bj4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan