Rabu, 16 November 2016

Sarawak sedar kelemahan

ARKIB : 18/03/1999
SARAWAK akan memperbaiki segera kelemahan yang ada sebelum memulakan cabaran menentang Pahang pada perlawanan pertama Liga Malaysia Divisyen Satu di Stadium Sarawak, Sabtu ini, lapor ANUAR ARIFFIN.

Jurulatihnya, Abdul Jalil Rambli berkata, masih terdapat beberapa kelemahan dalam pasukan bimbingannya yang perlu diatasi secepat mungkin sebelum persaingan bermula.

Katanya, antara posisi yang perlu diberi perhatian ialah di bahagian serangan.

Menurutnya, berdasarkan persembahan Sarawak dalam dua perlawanan persahabatan iaitu menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Negeri Sembilan tempoh hari, nyata sekali bahagian serangan Bujang Senang kelihatan agak tumpul.

''Jadi, kita mahu jentera di bahagian serangan dipertajamkan kerana ia amat penting dalam penghasilan gol oleh sesebuah pasukan.

''Begitu juga dengan bahagian-bahagian lain seperti pertahanan dan tengah, ia perlu diperkemaskan lagi,'' katanya di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, dia akan memanfaatkan tempoh dua hari sebelum kempen Liga Malaysia bermula untuk mengatasi kelemahan itu sebaik mungkin.

Pada keseluruhannya, katanya, dia berpuas hati dengan prestasi anak-anak buahnya yang semakin menunjukkan peningkatan dalam permainan.

''Mereka telah menunjukkan persefahaman yang baik dan melancarkan gerakan dengan begitu meyakinkan,'' ujarnya.

Pada perlawanan persahabatan yang diadakan di Pulapol dan Seremban baru-baru ini, Sarawak seri tanpa jaringan dengan ATM dan tewas 0-1 kepada Negeri Sembilan.

Jalil berkata, sekiranya para pemain dapat mengekalkan corak permainan, tidak ada sebab mengapa Sarawak tidak boleh memberi cabaran sengit kepada pasukan lawan nanti.

Sementara itu, beliau gembira kerana pemain-pemain baru semakin menunjukkan keyakinan dan persembahan yang menggalakkan.

''Umpamanya di bahagian serangan, saya telah menggandingkan antara Ramles Sari dan Safri Amit, Ramles dan Fadly Kassim dan Bobby Pian dan Safri.

''Di posisi pertahanan pula, saya mencuba gandingan antara Zaidel Sakup dan Samsul Napiah,''ujarnya.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0318&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_06.htm#ixzz4QAjfHXzy © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan