Sabtu, 5 November 2016

Bujang Senang lega selepas seri


 

ARKIB : 21/10/1998
Bujang Senang lega selepas seri
PENJAGA gol Brunei, Mohd. Yunos Mohd. Yusof (kiri) mendakap kemas bola tandukan penyerang Sarawak, Mohd. Ali Sapiee pada perlawanan Kumpulan B bola sepak Piala Malaysia di Stadium Sarawak, semalam yang berkesudahan seri 1-1.

SARAWAK menarik nafas lega untuk meneruskan cabaran dalam persaingan kumpulan B bola sepak Piala Malaysia apabila mengikat Brunei 1-1 di Stadium Sarawak, Kuching semalam, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.

Tandukan kencang Ibrahim Mantali lapan minit sebelum permainan tamat menyelamatkan Bumi Kenyalang itu bagi membolehkannya berkongsi mata.

Gol Brunei dijaringkan oleh Rafael Patron Akapo pada minit ke-49.

Sarawak memberi amaran seawal minit kedua apabila tendangan Ramos Sari hasil hantaran lintang Alistair Edwards diselamatkan pemain pertahanan Brunei, Zannoun Farouk Al-Hassan di atas garisan gol setelah penjaga gol, Awang Jefri tersilap langkah.

Bagaimanapun, Brunei tidak berdiam diri dan melakukan beberapa serangan sehingga hampir melenyapkan sorakan penonton enam minit kemudian yang menyasikan rembatan kencang Mohd. Brian Abdullah Bothwell tersasar.

Percubaan Ramos pada minit ke-15 menjadikan Stadium Sarawak kembali bergema apabila tendangannya mengenai badan pemain lawan, Nordin Tujoh sebelum didakap oleh Mohd. Yunos.

Mohd. Yunos sekali lagi menyelamatkan keadaan apabila sempat menumbuk keluar rembatan kencang Ibrahim Mantali dua minit selepas itu hasil hantaran jauh David Evans.

Namun skuad negara jiran itu tidak mahu menyerah kalah dan hampir membolosi gawang Bujang Senang pada minit ke-20 namun tolakan Irwan Mohamad melepasi palang.

Pada minit ke-24, sepakan sudut yang diambil oleh Billy Bone menuju tepat kepada Mohd. Ali Sapiee yang menanduk bola ke belakang.

Penjaga gol, Mohd. Yunos yang tidak menyangka bola akan menuju ke arahnya hanya mampu menampan namun bola terus kebelakang seolah-olah mencecah jaring menyebabkan penonton bersorak gembira kerana menyangka skuad Bujang Senang berjaya mendahulu lawan.

Namun kegembiraan itu hanya untuk beberapa saat apabila bola terus berada di kawasan permainaan yang menyaksikan permainan bertambah rancak dan beberapa kekasaran dilakukan sehingga waktu rehat.

Kedudukan seri hanya bertahan selama empat minit selepas permainan disambung semula akibat kerapuhan pertahanan pasukan tuan rumah sehingga memberi peluang kepada Rafael Patron Akapo membolosi pintu gol Sarawak hasil hantaran Irwan bagi membolehkan Brunei mendahului 1-0.

Penjaga gol, Mazlan Wahed hanya mampu melihat bola melepasinya walaupun penjaring gol itu dikawal ketat oleh dua pemain pertahan.

Selepas mendapat 'modal', Brunei menukar corak permainan dengan lebih banyak bertahan menyaksikan skuad Bujang Senang menguasai permainan.

Pasukan negara jiran hampir melebarkan jaringan pada minit ke-65 apabila Rafael memperdayakan tonggak terakhir Sarawak, David Evan bagi membolehkan pemain itu berdepan dengan Mazlan.

Dia yang melarikan bola jauh daripada penjaga gol itu bagaimanapun tidak bernasib baik bola rembatannya sempat dikuis oleh Mazlan.

Sarawak yang bertali arus mengatur serangan hampir membolosi gawang lawan.

Peluang terbaik Sarawak menyamakan kedudukan ialah pada minit ke-75 apabila percubaan kencang Mohd. Ali Sapiee terkena kaki penjaga gol manakala hantaran lintang Ramos gagal dikuis oleh Alistair yang tidak dikawal walaupun Mohd. Yunos tertewas dua minit selepas itu.

Segala usaha skuad Bujang Senang terbalas daripada tandukan kencang Ibrahim Mantali di depan pintu gol hasil sepakan sudut Billy Bone minit ke-82.

SARAWAK: Mazlan Abd. Wahed, David Evans, Ramos Sari, Roslan Ismail, Bobby Pian (Ramles Sari), Mohd. Ali Sapiee, Mohd. Dahlan Matusin, Billy Bone, Bobby Chua, Ibrahim Mantali, Alistair Edwards.

BRUNEI: Mohd. Yunos Mohd. Yusof, Awangku Sallehuddin Damid, Fadlin Galawat, Rosaidi Mohd. Kamis, Irwan Mohammad, Mohd. Brian Abdullah Bothwell, Rosanan Samak, Zannoun Farouk Al- Hassan, Azamuddin Gillen (Mohd Said Abdullah), Nordin Tujoh, Rafael Akapo.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1021&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4P7kdNIt4 © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan