Selasa, 15 November 2016

Sarawak dibelasah teruk

ARKIB : 05/03/1999
MEMANG mengaibkan, tetapi itulah hakikat yang harus diterima oleh Sarawak yang dibelasah 10 gol tanpa balas ketika menentang kelab profesional Jepun, Kashima Antlers pada suku akhir kedua Kejohanan Bola Sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Stadium J-Village, Naraha Jepun, kelmarin.

Kekalahan itu bagaikan merentap semangat juang Sarawak, beberapa minggu sebelum bermulanya persaingan Liga Perdana apatah lagi selepas berjaya mengekang juara Jepun daripaada mencatat kemenangan besar di Kuching, seminggu sebelum itu. Kashima menang 4-2 pada pertemuan pertama itu.

Namun di sebalik kekalahan kelmarin, Sarawak seharusnya mengambil iktibar bahawa ia bukanlah bermakna segala-galanya sudah berakhir.

Sarawak kini perlu melakukan sesuatu untuk memperbaiki keadaan. Tugas berat itu menjadi tanggungjawab Abdul Jalil Rambli, yang baru beberapa hari menyandang jawatan jurulatih.

Para pemain pasukan bergelar Bujang Senang ini harus segera melupakan 'malapetaka' di Naraha sebelum memulakan cabaran menentang Pahang dalam Liga Malaysia, 20 Mac ini.

Biarpun menanggung malu yang bukan kepalang para pemain Sarawak tidak seharusnya cepat mengalah dan berputus asa.

Hakikatnya, mereka telah berjaya memberi persaingan hebat dan mampu menyaingi pasukan lawan yang dianggap gergasi walaupun baru dibentuk lebih sebulan yang lalu.

Malah, Sarawak merupakan pasukan pertama yang layak mara ke peringkat suku akhir dalam pentas kejohanan Juara Antara Juara Asia.

Faktor cuaca sejuk yang mencapai sehingga lima darjah celsius mungkin merupakan antara penyebab utama mengapa barisan pemain Bumi Kenyalang gagal mengulangi persembahan cemerlang seperti yang ditunjukkan pada suku akhir pertama di Stadium Sarawak, 20 Februari lalu.

Pada saingan di hadapan penonton sendiri, meskipun tewas 2-4, tetapi Sarawak telah berjaya memberi cabaran getir kepada pasukan lawan yang menampilkan tiga pemain ternama dari Brazil selain beberapa pemain Piala Dunia 1998 Jepun.

Bagaimanapun, hasrat Bujang Senang untuk menebus kekalahan tersebut di gelanggang lawan tidak kesampaian, malah terpaksa menerima hakikat bahawa pintu gol mereka dibolosi dengan 10 jaringan dalam tempoh 90 minit perlawanan.

Tomoyuki Hirase muncul wira apabila menjaringkan empat gol iaitu seawal minit pertama, 42, 87 dan 89.

Rakannya, Yoshiyuki Hasegawa turut mencipta nama dengan tiga jaringan minit ke-36, 41 dan 53, Masashi Motoyama, dua gol (69, 79) dan Mitsuo Ogasawara (62).

Sehubungan itu, pemain-pemain Sarawak harus melupakan segera kekalahan yang dialami dan merangka haluan baru bagi menghadapi cabaran Liga-M tidak lama lagi.

Mungkin ada hikmah yang tersembunyi di sebalik kekalahan tersebut yang berkehendakkan setiap pemain perlu melipatgandakan usaha bagi membentuk skuad yang lebih jitu dan berwibawa.

Sementara itu, pegawai-pegawai Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komen mengenai keputusan tersebut.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0305&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q4o1xFXC © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan