Sabtu, 12 November 2016

Abdul Jalil berjanji tidak akan sia-siakan amanah yang diberikan

ARKIB : 25/01/1999
BEKAS pemain, Abdul Jalil Rambli menjunjung segala amanah yang diletakkan di bahunya dalam memastikan kecemerlangan pasukan Sarawak dalam saingan bola sepak Liga Malaysia musim ini.

Malah, tugas selaku jurulatih baru skuad Bujang Senang disifatkan oleh Jalil, 38, sebagai suatu tanggungjawab yang sungguh berat dan perlu dilaksanakan sebaik mungkin.

Bagi anak kelahiran Bintulu ini, segala hasrat dan harapan itu tidak akan dapat ditunaikan melainkan adanya kerjasama secara kolektif dari semua pihak yang terlibat baik di kalangan pegawai Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mahupun peminat dan penyokong setia Bujang Senang.

''Saya berjanji tidak akan mempersia-siakan amanah yang begitu berat yang diberikan kepada saya ini.

''Ini bukan satu tugas yang mudah dan saya harapkan mendapat sokongan dan kerjasama yang erat daripada semua pihak.

''Insya-Allah, saya akan menggunakan segala pengalaman yang ada bagi membantu melonjakkan semula reputasi Sarawak sebagai pasukan yang dihormati dan digeruni pihak lawan,'' katanya di Kuching, semalam.

Bekas penolong jurulatih dan ketua pasukan Bumi Kenyalang itu telah dilantik secara rasmi oleh FAS untuk memimpin pasukan Sarawak musim ini bagi menggantikan Alan Vest.

Sebelum itu, beliau telah menandatangani surat tawaran menjadi jurulatih skuad Bujang Senang di rumah Timbalan Presiden merangkap Bendahari FAS, Zaidi Khaldin Zainie di Tinggian Demak, Petra Jaya, malam semalam.

Jalil dilantik sebagai jurulatih Sarawak secara kontrak selama setahun dan kontrak itu akan diperbaharui dari setahun ke setahun.

Pelantikan sebagai jurulatih baru itu cukup bermakna bagi bekas pemain pertahanan Bujang Senang itu kerana ia jatuh pada hari ulang tahun kelahirannya yang ke-38.

Menurut Jalil, beliau akan berusaha untuk melakukan sesuatu yang terbaik bagi membawa kejayaan yang gemilang buat Sarawak tahun ini.

Katanya, untuk tujuan itu rangsangan dan dukungan yang kental daripada orang ramai sangat-sangat dikehendaki.

Justeru itu, sebagai permulaan, beliau tidak mahu meletakkan sasaran yang begitu tinggi yang mana ia boleh menjejaskan rentak pasukan yang baru dibinanya.

''Matlamat saya ialah mahu memastikan prestasi Sarawak sentiasa konsisten dan kekal bermain dalam Divisyen Satu,'' ujarnya.

Sementara itu, Jalil berkata, beliau akan meneliti dahulu corak permainan yang ditunjukkan oleh para pelatih berdasarkan kaedah yang diperkenalkannya sewaktu menjalani latihan nanti.

''Sekiranya didapati tidak sesuai, saya akan cuba pendekatan dan strategi yang lain pula,'' ujarnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_03.htm#ixzz4PqpC59MZ © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan