Selasa, 15 November 2016

Sarawak kesejukan

ARKIB : 07/03/1999
MASALAH sejuk yang bukan kepalang menjadi faktor utama mengapa skuad Sarawak terpaksa tunduk kepada kelab Kashima Antlers pada perlawanan suku akhir kedua bola sepak Kejohanan Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Jepun, Rabu lalu.

Jurulatih Bujang Senang, Abdul Jalil Rambli berkata, para pemain tidak dapat berbuat apa-apa malah gagal melakukan aksi-aksi hebat berikutan suhu di Negara Matahari Terbit itu mencecah sehingga tiga darjah celsius.

Katanya, biarpun barisan pemain terpaksa memakai dua hingga tiga lapis baju namun kesejukan begitu amat terasa sekali.

''Jika tidak kerana cuaca yang begitu sejuk, kekalahan Sarawak tidaklah sebegitu besar sehingga 0-10.

''Para pemain telah menunjukkan permainan yang biasa pada babak pertama perlawanan, tetapi mereka mula hilang rentak pada pertarungan babak kedua,'' katanya di Kuching, semalam.

Mengulas lanjut perlawanan di Stadium J-Village, salah sebuah gelanggang canggih bagi Kejohanan Piala Dunia 2002, Jalil berkata, anak-anak buahnya telah memperoleh beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan gol.

Bagaimanapun, ujarnya, segala kesempatan tersebut tidak membuahkan sebarang hasil.

Kata Jalil, biarpun ditentang oleh pasukan ternama dalam Liga-J, namun semangat juang para pemain begitu tinggi sekali.

Beliau memberitahu, tiga muka baru iaitu Mohd. Fadly Kassim, Abang Mohd. Zafari dan Jeffery Lana telah diturunkan pada perlawanan tersebut.

''Mereka telah bekerja keras untuk membuktikan kewibawaan masing-masing. Tetapi, dalam keadaan cuaca yang sejuk, pergerakan mereka tidak begitu lancar,'' ujarnya.

Sementara itu, Jalil berkata, skuad Bujang Senang akan mengadakan dua perlawanan persahabatan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kuala Lumpur pada 12 Mac ini dan Negeri Sembilan di Seremban, dua hari kemudian.

Menurutnya, perlawanan tersebut adalah sebahagian daripada persiapan juara Liga 1997 itu untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia yang akan bermula beberapa minggu lagi.

Bekas Juara Sumbangsih tahun lalu itu akan menentang skuad Tok Gajah, Pahang pada perlawanan pembukaan Liga Malaysia Divisyen Satu di Stadium Sarawak, 20 Mac ini.

Oleh: ANUAR ARIFFIN

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0307&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4Q5RyZesG © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan