ARKIB : 18/02/1999
Jalil minta penyokong Bujang
Senang bersabar
ABDUL Jalil Rambli (dua dari
kiri) memberi penerangan kepada para pemainnya sebelum perlawanan persahabatan
menentang Kelab Ibraco di Kuching semalam. Sarawak menang 3-0. - Gambar AZMAN
AHMAD.
JURULATIH Sarawak, Abdul Jalil
Rambli tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan yang mahu beliau menghasilkan
sesuatu kejayaan serta-merta bagi skuad Bujang Senang pada saingan Divisyen
Satu Liga Malaysia musim ini.
Jurulatih berusia 38 tahun itu
berkata, beliau memerlukan masa untuk berbuat demikian apatah lagi Sarawak kini
dibarisi pemain lama dan baru yang perlu diadun dengan mantap dan berkesan.
Namun begitu, katanya, ini
tidak bererti Sarawak tidak akan memberi cabaran sengit dalam sebarang
kejohanan yang disertai terutama Liga Malaysia malah akan berusaha dengan
sedaya upaya untuk memenangi setiap perlawanan.
Bekas pemain Bujang Senang itu
tidak menafikan dia mula merasai tekanan khususnya di kalangan peminat dan
penyokong setia Sarawak yang mahu beliau menelurkan sesuatu yang terbaik bagi
skuad Bumi Kenyalang musim ini.
''Memanglah mereka (peminat dan
penyokong) benar-benar mengharapkan kejayaan Sarawak apabila menentang pasukan
lawan terutama apabila bertemu Kashima Antlers dari Jepun pada perlawanan
Kelab-Kelab Asia di Stadium Sarawak, Sabtu ini.
''Harapan begini sememangnya
menjadi lumrah di kalangan peminat dan penyokong setia tetapi saya sudah
bersedia untuk menghadapi sebarang tekanan,'' katanya di Kuching, semalam.
Jalil berkata, beliau yakin
berdasarkan latihan yang konsisten dan ruang masa yang secukupnya bagi
menggilap kecergasan pemain, Sarawak mampu menjadi pasukan yang handal pada
masa depan.
Tegasnya, beliau perlu diberi
masa untuk menyusun jentera pasukan dan mengenal-pasti pemain yang berwibawa untuk
diletakkan di sesuatu posisi.
''Dalam hubungan ini, peminat
dan penyokong Bujang Senang juga dikehendaki memberi sumbangan dalam bentuk
sokongan moral kepada para pemain setiap kali mereka beraksi,'' katanya.
Sementara itu, Jalil berpuas
hati dengan persembahan anak-anak buahnya apabila menewaskan kelab Ibraco FC
3-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negeri, Petra Jaya, petang
semalam.
Gol-gol tersebut dijaringkan
oleh Nazri Yunos, Ibrahim Mantali dan pemain baru, Mohd. Fadly Kassim.
Ini merupakan kejayaan kedua
skuad bimbingan Jalil selepas mengalahkan kelab Perumahan dengan jaringan yang
sama tiga hari lalu.
Menurut Jalil, walaupun
mencipta kemenangan, tetapi para pemain perlu melipatgandakan lagi mutu
persembahan.
''Barisan hadapan masih lagi
perlu diperkemaskan dan begitu juga dengan bahagian lain. Pada keseluruhannya,
saya berpuas hati dengan kesungguhan dan kecergasan para pemain,''ujarnya.
Mengenai pertemuannya dengan
Kashima Antlers, beliau berkata, para pemain akan berusaha untuk memenangi
perlawanan tersebut walaupun menyedari kehebatan pasukan lawan.
Katanya, pertemuan itu
disifatkan sebagai medan 'pemanas badan' bagi para pemain sebelum turun
menggalas cabaran sebenar pada Liga Malaysia.
''Namun begitu, kita akan tetap
memberi cabaran sebaik mungkin dan yang pasti kemenangan dapat diperoleh,''
jelasnya.
Oleh: ANUAR ARIFFIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0218&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_02.htm#ixzz4PtSz5JRv
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan