ARKIB : 31/10/1998
SARAWAK perlu mencari
kemenangan mutlak apabila bertemu musuh tradisi, Sabah pada pusingan kedua
Piala Malaysia Kumpulan B di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam ini, lapor
ANUAR ARIFFIN.
Ini kerana kejayaan membawa
pulang tiga mata perlu dilengkapkan sekiranya hajat Bujang Senang untuk
mengetuk pintu separuh akhir musim ini mahu ditunaikan.
Ketika cabaran hampir ke
penghujung, Sabah kelihatan semakin kukuh berada di tangga teratas kumpulan
dengan 10 mata manakala Brunei di tempat kedua dengan lapan mata.
Sebaliknya, Sarawak yang
ditabalkan selaku juara Sumbangsih awal musim ini masih belum lagi menyerlahkan
kehebatan sebenar.
Skuad Bumi Kenyalang pula
sekadar menduduki dua anak tangga tercorot dengan enam mata hasil daripada
menang sekali, seri tiga kali dan kalah sekali selepas melalui lima kali
pertemuan.
Justeru itu, pertemuan dua
jiran tetangga dari Kepulauan Borneo di Stadium Likas malam ini bakal
menjanjikan saingan menarik dan hebat.
Lebih-lebih lagi pasukan Bujang
Senang yang sudah pasti akan turun habis-habisan untuk memburu kemenangan dan
mencerahkan jejak untuk menjulang Piala Malaysia.
Pada pertemuan pusingan pertama
di Kuching, kedua-dua pasukan seri 1-1.
Namun begitu, pada cabaran
liga, kelebihan berpihak kepada 'Negeri Di Bawah Bayu' apabila memenangi
kedua-dua pertemuan timbal balik melalui jaringan 1-0.
Biarpun beraksi di gelanggang
lawan namun ia tidak sedikitpun melunturkan semangat juang pasukan bimbingan
Alan Vest.
Disuntik dengan kejayaan
menumpaskan Kelab Yangon dari Myanmar 1-0 pada kejohanan Juara-Juara Kelab Asia
di gelanggang lawan baru-baru ini, Sarawak sudah pasti akan turun dengan penuh
azam bagi mengulangi kejayaan serupa.
Hakikat itu diakui oleh
penolong jurulatih Sarawak, Abdul Jalil Rambli yang berkata, Bujang Senang
perlu memenangi perlawanan penting malam ini.
Katanya, sekiranya Bujang
Senang berupaya mengecewakan Sang Badak bermakna laluan ke separuh akhir Piala
Malaysia tetap ada.
''Kita berharap Sarawak akan
dapat membawa pulang tiga mata penuh malam ini. Biarpun tugas itu mencabar
tetapi berbekalkan semangat perjuangan yang kental, tidak mustahil kejayaan
mampu diperoleh,'' ujarnya di Kuching, semalam.
Sehubungan itu, beliau
menasihatkan para pemain agar dapat memberi persembahan terbaik dan
memanfaatkan setiap peluang yang diperoleh dengan sebaik-baiknya.
Jalil yakin jentera serangan
Sarawak yang dipikul Alistair Edwards, Ramos Sari, Ramles Sari dan Mohd. Ali
Sapiee mampu menyumbang rentak terbaik untuk Bujang Senang.
''Begitu juga dengan
pemain-pemain lain seperti Bobby Pian, Bobby Chua, Roslan Ismail, Dahlan
Matussin, Ibrahim Mentali, Billy Bone dan David Evans yang diharap dapat
melakukan sesuatu ke arah kejayaan Sarawak,'' ujarnya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1998&dt=1031&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4P8rt1SZh
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan