Ahad, 13 November 2016

Sentuhan Rambli teruji

ARKIB : 20/02/1999
SENTUHAN jurulatih tempatan, Abdul Jalil Rambli akan teruji apabila pasukan Sarawak menentang kelab Kashima Antlers dari Jepun pada pusingan pertama suku akhir Kejohanan Bola Sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, malam ini.

Ini merupakan perlawanan sulung bertaraf antarabangsa yang dilalui skuad Bujang Senang musim ini selepas mula dilatih oleh Jalil pada 23 Januari lalu.

Walaupun pertemuan ini tidak sehebat cabaran Liga Malaysia dan Piala Malaysia, tetapi ia begitu bermakna buat Jalil untuk melihat sejauh mana anak-anak buahnya mempraktikkan segala corak permainan yang diajar.

Sarawak yang ditabalkan sebagai juara Sumbangsih musim lalu, tetap berazam untuk memberi persembahan terbaik meskipun lawan yang akan dihadapi malam ini bukan calang-calang pasukan untuk disaingi.

Yang pasti, Bujang Senang tidak rela untuk diperkotak-katikkan oleh Kashima Antlers, malah akan berjuang memburu kemenangan bukan saja buat keceriaan penyokong tempatan, malah untuk rakyat Malaysia.

Sarawak merupakan pasukan pertama di negara ini yang berjaya melangkahkan kaki ke peringkat tertinggi iaitu suku akhir pada kejuaraan bola sepak kelab-kelab Asia.

Sebelum ini, pasukan Merah Kuning, Selangor turut beraksi dalam kejohanan yang sama, tetapi hanya mampu sehingga ke peringkat pusingan kedua saja.

Bagi Jalil, pasukan bimbingannya kini sudah bersedia untuk menghadapi cabaran pasukan lawan yang akan menyenaraikan beberapa pemain tersohor termasuk tiga pemain nasional dari Brazil.

Tiga pemain terkenal Brazil itu ialah Bismarck Barreto Faria (pernah bermain dalam Piala Dunia 1990 di Itali), Waldemar Aurello De Olivelra Filho dan Richardo Cavalcante Ribelro.

Selain itu, Kashima Antlers turut menampilkan tiga bintang bola sepaknya yang beraksi dalam Piala Dunia 1998 di Perancis iaitu Akira Narahashi, Yutaka Akita dan Naoki Soma.

Menurut Jalil, semangat dan prestasi para pemain begitu tinggi sekali dan mereka tidak sabar untuk mengharungi cabaran sebenar.

''Saya yakin para pemain mampu memberi persembahan terbaik malam ini walaupun pasukan lawan nyata lebih hebat.

''Berdasarkan latihan intensif yang dijalani sejak beberapa minggu lalu, para pemain akan dapat mempraktikkan segala yang dipelajari dengan baik dan berkesan'' katanya di Kuching, semalam.

Menurut Jalil, perlawanan ini menjadi medan penting bagi skuad Bujang Senang memantapkan jentera pasukan sebelum memulakan saingan Liga Malaysia bulan depan.

Selain itu, katanya, ia akan memperlihatkan sejauh mana kecergasan dan komitmen para pemain sejak mula menjalani latihan pertengahan bulan lalu.

Jalil berkata, kesebelasan pemain utama Bujang Senang akan diketahui menjelang perlawanan akan dimulakan.

''Pada keseluruhannya, para pemain menunjukkan semangat tinggi dan persefahaman yang baik walaupun tidak seratus peratus. Saya berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan,'' ujarnya.

Jalil berkata, keupayaan Sarawak sudah mula berputik apabila berjaya menewaskan dua kelab ternama di bandar raya ini iaitu Perumahan dan Ibraco FC, kedua-duanya dengan jaringan 3-0 pada perlawanan persahabatan baru-baru ini.

Bujang Senang akan bertandang ke Jepun untuk mengharungi perlawanan pusingan kedua pada 3 Mac ini.

Oleh: ANUAR ARIFIN

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0220&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_07.htm#ixzz4PtavbqlT © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan