Sabtu, 12 November 2016

Sasaran Sarawak kekal dalam Divisyen Satu

ARKIB : 25/01/1999
SARAWAK, yang memenangi hampir kesemua piala kecuali Piala Malaysia dalam persaingan liga profesional, meletakkan sasaran untuk kembali ke zaman kegemilangan pada tahun 2001.

Jurulatih barunya, Abdul Jalil Rambli berkata, sasaran itu bukan sahaja tertumpu kepada Piala Malaysia, malah jika bernasib baik, merampas kembali kejuaraan yang pernah dimenangi sebelum ini.

''Untuk musim 1999, Sarawak menumpukan sasaran untuk kekal dalam Divisyen Satu, layak ke pertandingan Piala Malaysia dan menunjukkan persembahan baik dalam kejohanan Piala FA,'' katanya di Kuching, semalam.

Dalam pada itu, Jalil menaruh keyakinan pasukan yang akan dibentuknya mampu menyaingi kehebatan skuad Kashima Antlers dari Jepun yang akan ditemuinya pada peringkat suku akhir pertama Kejohanan Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 di Stadium Sarawak, Petra Jaya, 20 Februari depan.

Perlawanan itu merupakan tugasan pertamanya sebagai jurulatih baru Sarawak selepas dia dilantik secara rasmi sebagai jurulatih baru pasukan Bumi Kenyalang itu, semalam.

Katanya, biarpun pasukan lawan menampilkan barisan pemain terbilang antaranya lima pemain kebangsaan Jepun dan tiga pemain utama skuad nasional Brazil, namun ia bukan menjadi batu penghalang kepada pasukan Bujang Senang untuk beraksi dengan cemerlang.

''Saya yakin para pemain akan dapat memberi persembahan yang terbaik pada cabaran itu berdasarkan latihan intensif yang akan dijalani.

''Para pelatih akan mula menjalani latihan esok (Isnin) di Stadium Sarawak,'' ujarnya di Kuching, semalam.

Jalil berkata, Sarawak tidak ketandusan pemain yang berwibawa tetapi mereka perlu diberi bimbingan dan pendedahan yang sewajarnya.

Sehubungan itu, beliau akan memperkenalkan corak latihan yang sedia dan akan melihat sejauh mana para pelatih dapat menyesuaikan diri dengan teknik tersebut.

''Kashima Antlers bukan calang-calang pasukan tetapi tidak mustahil kita mampu mengatasinya sekiranya pemain dibekalkan dengan azam dan semangat yang kuat,'' ujarnya.

Sarawak mara ke pusingan suku akhir Piala Juara Antara Juara ke-9 apabila berjaya mengalahkan pihak lawan pada pusingan pertama dan kedua tahun lalu.

Pada pusingan pertama, skuad Bujang Senang, yang ketika itu dipimpin oleh bekas jurulatih, Alan Vest, berjaya mengalahkan pasukan Yangoon dari Myanmar dengan agregat 3-1 sementara mengatasi Vietnam 1-0 pada pusingan kedua.

Sarawak dijadual akan bertemu Kashima Antlers pada pusingan kedua peringkat suku akhir di Jepun pada Mac.

Sementara itu, seramai 20 orang pemain tempatan akan mula menjalani latihan sebagai persediaan menghadapi kejohanan tersebut dan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, kelibat tiga pemain luar (dari negeri lain) yang sebelum ini disebut-sebut berminat untuk beraksi bersama Sarawak seperti V. Saravanan dan Zami Mohd. Noor tidak termasuk dalam senarai pelatih yang dipanggil menjalani latihan.

SENARAI PELATIH:
Roslan Ismail, Mohd. Nazri Yunos, Mohd. Ali Sapiee, Mazlan Wahed, Ramos Sari, Ramles Sari, Ibrahim Mantali, Bobby Pian, Shamsuddin Hassan, Bobby Chua, Mohd. Azley Abdullah, Dahlan Matussin, Mohd. Zaidil Sakup, Roziman Rambli, Billy Winsell, Mohd. Fadley Kassim, Shamsul Napiah, Mohd. Safri Amit, Walter Bat dan Jeffrey Lane.

SUMBER-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0125&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PqrEBeSz © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan