ARKIB : 10/02/1999
SARAWAK tidak akan memberi
sebarang laluan mudah kepada Perak dalam pertarungan pusingan kedua kejohanan
bola sepak Piala FA yang akan bermula 6 April depan.
Jurulatih Bujang Senang, Abdul
Jalil Rambli berkata, biarpun pasukannya kini sedang dalam peringkat penyusunan
membentuk sebuah pasukan mantap tetapi saingan sengit tetap akan diberi.
Katanya, beliau mengakui skuad
'Seladang' bukan calang-calang pasukan untuk ditundukkan apatah setelah
bergelar juara Piala Malaysia musim lalu.
Namun begitu, beliau berkata,
skuad Bumi Kenyalang tetap bersedia melayani cabaran Perak pada pusingan kedua
Piala FA nanti disamping barisan pemain gigih menjalani latihan.
''Kita akan bersikap underdog
memandangkan Perak merupakan sebuah pasukan yang kuat.
''Bagaimanapun, para pemain
yang terdiri daripada adunan pemain lama dan baru akan terus berusaha memberi
persembahan terbaik untuk memenangi perlawanan tersebut,'' katanya di Kuching,
semalam.
Sehubungan itu, Jalil
menyifatkan pertemuan Sarawak dan Perak nanti akan menyajikan satu pertarungan
yang hebat dan menarik.
Katanya, undian yang
mempertemukan 'Sang Kenyalang' dan 'Sang Seladang' adalah bagus dan sesuai.
Pada undian Piala FA yang
diadakan di Wisma FAM kelmarin, Sarawak dan Perak akan bertemu pada pusingan
kedua pada 6 dan 20 April.
Pemenang pusingan kedua itu
akan berhadapan dengan pemenang antara Kuala Lumpur dan sama ada Melaka atau
Malay Mail Kuala Lumpur pada peringkat suku akhir yang akan dilangsungkan pada
4 dan 18 Mei.
Menurut Jalil, Sarawak pernah
menjuarai Piala FA pada 1992 dan muncul naib juara dua tahun selepas itu.
''Setiap pasukan mempunyai
kekuatan masing-masing. Sarawak akan berusaha bermain dengan semangat dan tekad
yang tinggi untuk memburu kejayaan musim ini,'' ujarnya.
Sementara itu, Jalil berkata,
hasratnya untuk membawa para pemain mengadakan perlawanan persahabatan di Johor
dan Singapura tergendala.
Katanya, ini disebabkan masalah
untuk mendapatkan tiket penerbangan balik daripada menyertai kedua-dua
perlawanan persahabatan tersebut iaitu menentang Johor dan Geylang FC dari
Singpura.
''Kesukaran ini mungkin
disebabkan rancangan mengadakan perlawanan persabahatan berdekatan dengan
sambutan Tahun Baru Cina,'' ujarnya.
Menurutnya, beliau akan cuba
mengatasi masalah tersebut secepat mungkin dan keputusan sama perlawanan
persahabatan itu akan diadakan atau tidak akan diketahui dalam sehari dua lagi.
Oleh: ANUAR ARIFFIN
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0210&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_05.htm#ixzz4PsqyxiU6
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan