Ahad, 13 November 2016

Sarawak tangguh ke selatan

 ARKIB : 15/02/1999
SARAWAK menangguhkan rancangan untuk mengadakan perlawanan persahabatan di Johor dan Singapura memandangkan masa yang agak suntuk untuk berbuat demikian.

Jurulatih skuad Bujang Senang, Abdul Jalil Rambli berkata, bagaimanapun rancangan itu tetap akan dilaksanakan selepas Sarawak menentang Kashima Antlers dari Jepun pada suku akhir pertama Kejohanan Bola Sepak Piala Juara Antara Juara Asia ke-9 pada 20 Februari ini.

Menurutnya, kegagalan untuk mengadakan perlawanan persahabatan itu sedikitpun tidak menjejaskan persiapan pasukannya untuk menghadapi Kashima Antlers dan seterusnya cabaran Liga Malaysia.

Sebaliknya, beliau berkata, Sarawak akan menjadikan beberapa kelab yang terkemuka di bandar raya ini sebagai rakan 'sparring' latihan untuk menguji kemantapan barisan pemain yang dibentuknya.

Antara kelab-kelab itu ialah Perumahan, Ibraco FC, Stadium FC dan Landas.

''Kita terpaksa menunda perlawanan persahabatan dengan Johor dan Geylang FC dari Singapura seperti yang dicadangkan baru-baru ini disebabkan kesuntukan waktu.

''Tetapi, kita akan meneruskan hasrat itu selepas Sarawak menentang Kashima Antlers nanti,'' katanya kepada Utusan di Kuching, semalam.

Jalil berkata, beliau yakin perlawanan ujian bersama kelab- kelab terbaik di bandar raya ini akan dapat memberi ruang secukupnya kepada para pemain meningkatkan kecergasan dan mutu permainan.

Katanya, ini akan dapat memastikan pasukan Sarawak benar- benar mantap dan bersedia menghadapi cabaran Kashima Antlers yang mempunyai ramai pemain terbilang antaranya tiga pemain kebangsaan Brazil dan lima pemain Piala Dunia 1998 Jepun.

Sementara itu, Jalil, bekas pemain dan penolong jurulatih Sarawak, boleh mengukir senyuman apabila anak-anak buahnya berjaya mengalahkan skuad Perumahan 3-0 dalam perlawanan persahabatan di Stadium Negeri, petang semalam.

''Malah dua jaringan yang terhasil itu diperoleh melalui pemain baru, Safri Amit dan Affendi Sugandi selain Ali Sapiee menyumbang satu gol lagi,'' ujarnya.

Menurutnya, perkembangan itu adalah sesuatu yang positif dan beliau akan memastikan tahap keupayaan pemain sentiasa tinggi.

''Perumahan adalah sebuah pasukan yang baik kerana dibimbing oleh Morshidi Awet dan diperkuatkan dengan beberapa bekas pemain Bujang Senang antaranya ialah Sazali Rambli,'' jelasnya.

Tambah Jalil, setakat ini pemain-pemain baru sudah mula menunjukkan penyesuaian dan mereka mempamerkan kesungguhan yang memberangsangkan sewaktu menjalani sesi latihan.

Katanya, Sarawak kini sudah bersedia untuk menghadapi tentangan Kashima Antlers dan sokongan peminat dan penyokong setia Bujang Senang amat diperlukan untuk pertarungan itu nanti.

''Walaupun Sarawak dibarisi pemain lama dan baru namun semangat perjuangan kami tetap kental,'' ujar beliau.

Sumber-Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0215&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_04.htm#ixzz4PsyiCp2h © Utusan Melayu (M) Bhd

Tiada ulasan:

Catat Ulasan