ARKIB : 01/04/1999
KEMENANGAN Sarawak 3-0 ke atas
Perak, kelmarin bukan hanya memberi keyakinan kepada pemain Bujang Senang,
tetapi ia juga memberi keyakinan kepada jurulatihnya, Jalil Ramli untuk
mengharungi cabaran Liga Perdana, lapor KHAIRUDDIN MOHD. AMIN.
Setelah mengharungi 206 minit
kancah bola sepak Liga Perdana, Sarawak akhirnya memperoleh gol sulung yang
dicari-cari selama ini menerusi tandukan Bobby Pian.
Gol tersebut membolehkan
beberapa serangan dilakukan pada perlawanan yang rata-rata dikuasai oleh anak
buah Jalil sehingga menambah dua jaringan lagi menerusi ketua pasukannya, Mohd.
Ali Sapiee pada minit ke-28 dan 65.
Bagi pemain muda yang berada
atas padang ketika itu, mereka mula berani bertindak.
Ini terbukti apabila Jeffry
Lana melakukan percubaan dari sudut yang sukar pada minit ke-51, namun nasib
tidak menyebelahinya apabila rembatan itu terkena palang gol.
Bagi Jalil pula, dia mula
membuat percaturan memasukkan dua pemain mudanya, Abang Md Zaafari Othman dan
Efandi Sugandi untuk beraksi selama 25 minit yang sungguh berharga itu.
Kedua-dua pemain itu
menggantikan pemain berpengalaman Ibrahim Mantali dan Ramos Sari.
Secara keseluruhannya,
kesungguhan pemain Sarawak kelmarin menyaksikan jurulatih itu kembali menguntum
senyuman sambil berkata: ''Mereka bekerja keras pada perlawanan malam ini dan
ia berbaloi (dengan mencipta kemenangan).''
Menurutnya, kemenangan itu
sekali gus membuktikan Sarawak mampu memberi cabaran kepada pasukan lain
walaupun menurunkan pemain muda yang kurang berpengalaman.
Sumber-Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=1999&dt=0401&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sukan&pg=sp_08.htm#ixzz4RPNZe6HU
© Utusan Melayu (M) Bhd
Tiada ulasan:
Catat Ulasan